Ikan lumba-lumba mati terdampar di Pantai Ruat, Yan
YAN - Seekor ikan lumba-lumba dianggarkan seberat 220 kilogram (kg) ditemukan mati terdampar di persisiran Pantai Ruat, Yan, dekat sini, pada Ahad.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima maklumat tentang penemuan ikan lumba-lumba itu kira-kira jam 5 petang daripada orang awam.
Beliau berkata, sepasukan enam petugas bergegas ke lokasi penemuan bangkai ikan lumba-lumba yang dianggarkan sepanjang 1.8 meter (m) itu.
"Setelah sampai di lokasi kejadian, anggota APM Yan mendapati seekor ikan lumba-lumba telah terdampar di pantai disyaki terkena kipas bot.
"Susulan itu, pihak APM Yan bertindak memaklumkan kepada pihak Jabatan Perikanan Negeri Kedah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, tindakan dilakukan dengan mengalihkan bangkai ikan tersebut ke lokasi lain bagi tindakan seterusnya.
Zul Izzi berkata, kes penemuan ikan lumba-lumba itu adalah kes pertama diuruskan APM setakat ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!