Polis Sarawak rampas dadah bernilai lebih RM630,000

Polis Sarawak merampas dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM639,000 dalam serbuan berasingan di kawasan Miri, bahagian utara Sarawak pada Jumaat lepas. Foto Facebook Polis Sarawak
Polis Sarawak merampas dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM639,000 dalam serbuan berasingan di kawasan Miri, bahagian utara Sarawak pada Jumaat lepas. Foto Facebook Polis Sarawak
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak merampas dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM639,000 dalam serbuan berasingan di kawasan Miri, bahagian utara Sarawak pada Jumaat lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, dalam operasi jam 10 malam itu, dua lelaki, masing-masing berumur 26 dan 33 tahun yang menjadi pengedar dadah dengan upah antara RM2,000 hingga RM5,000 turut ditahan.

"Lelaki berumur 26 tahun itu telah ditangkap di hadapan sebuah pusat hiburan di Miri dan merampas 31.73 gram dadah jenis syabu.

"Berikutan itu, dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan polis telah menahan seorang lelaki berumur 33 tahun di sebuah kondominium dan merampas sejumlah 16,197 gram syabu, 198 gram ketamin dan 3,750 biji pil Erimin 5," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mancha berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah yang bernilai RM639,250 itu dianggarkan boleh digunakan oleh sejumlah 85,194 penagih.

"Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton Wira bernilai RM10,000 dan seutas jam tangan bernilai RM5,000.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Menurut beliau, siasatan setakat ini mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua 12 rekod iaitu masing-masing enam di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan enam di bawah Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Mancha berkata, kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika dikenakan hukuman penjara, boleh dikenakan hukuman hingga 12 kali sebatan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!