Suspek lari SJR lebih 70km ditahan di Baling

Polis mengejar kenderaan suspek sehingga ke jambatan Kuala Pegang, Baling, Kedah. (Gambar kecil: Shamsudin) Foto PDRM
Polis mengejar kenderaan suspek sehingga ke jambatan Kuala Pegang, Baling, Kedah. (Gambar kecil: Shamsudin) Foto PDRM
A
A
A

BALING - Seorang lelaki akhirnya berjaya ditahan setelah cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR) dan memecut kenderaan sejauh kira-kira 70 kilometer dari Gerik, Perak dalam kejadian lebih kurang jam 4 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, lelaki berusia anggaran 30-an itu ditahan di Stesen Bas Gerik setelah meninggalkan kenderaan dinaiki yang dikejar anggota polis di Kuala Pegang, Baling.

Pemeriksaan dalam kenderaan mendapati terdapat empat warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah. Foto PDRM
Pemeriksaan dalam kenderaan mendapati terdapat empat warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah. Foto PDRM

Menurutnya, kenderaan dinaiki suspek mula dikesan dalam keadaan mencurigakan setelah memecut laju dari SJR yang dijalankan di Sungai Lebey, Gerik.

"Peronda MPV Gerik telah membuat Op Kesan dan menemui kenderaan tersebut di stesen minyak Kuala Rui, namun semasa pemeriksaan hendak dibuat, suspek memecut kenderaan sehingga memasuki sempadan daerah Baling.

"Kenderaan dipandu suspek secara berbahaya mengancam nyawa pengguna lain menyebabkan anggota MPV memberi amaran melalui alat perhubungan spectra sebanyak tiga kali," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, suspek bagaimanapun enggan memberhentikan kenderaan sehingga memaksa anggota MPV melepaskan lima das tembakan dan dua daripadanya mengenai bonet kereta.

Suspek dilihat terus memecut sebelum terbabas di atas jambatan Kuala Pegang, Baling.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua suspek dipercayai pemandu dan penumpang hadapan menghilangkan diri.

Seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berumur 23 hingga 39 tahun tanpa dokumen pengenalan diri ditahan dipercayai dibawa masuk dari Kelantan. Foto PDRM
Seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berumur 23 hingga 39 tahun tanpa dokumen pengenalan diri ditahan dipercayai dibawa masuk dari Kelantan. Foto PDRM

"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan mendapati terdapat seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berumur 23 hingga 39 tahun tanpa dokumen pengenalan diri dipercayai dibawa masuk dari Kelantan," katanya.

Jelas beliau, seorang daripada suspek yang melarikan diri berjaya ditahan di stesen bas Gerik dan usaha mencari seorang lagi suspek giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 manakala Seksyen 26A Atipsom dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!