Suami bakal jalani pembedahan esok, Siti Noraida mohon doa orang ramai

Muhammmad Nur Hadith ditembak semasa berada di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad. Foto Bernama
Muhammmad Nur Hadith ditembak semasa berada di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada apa diharapkan selain titipan doa orang ramai agar suami tersayang kembali pulih dan meneruskan kehidupan harian seperti sediakala.

Demikian harapan Siti Noraida Hassan, 38, selepas suaminya, Muhammmad Nur Hadith atau lebih dikenali sebagai Along ditembak ketika bertugas sebagai pengawal pengiring.

Muhammmad Nur Hadith ditembak semasa berada di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Siti Noraida berkata, suaminya ketika ini sedang ditidurkan dan kemungkinan besar akan menjalani pembedahan di Hospital Cyberjaya pada Selasa.

Katanya, dia masih tidak mengetahui keadaan sebenar suaminya kerana masih ditidurkan sejak dimasukkan ke wad selepas kejadian tembakan awal pagi Ahad itu.

"Pihak hospital pada ketika ini berusaha menghentikan pendarahan di bahagian perut suami saya.

"Kesan tembakan yang dilepaskan oleh suspek dipercayai terkena usus kecil Along.

"Saya dalam perjalanan pergi melawat suami bersama ayah mentua. Saya berharap semuanya berjalan lancar termasuk proses pembedahan yang dijadualkan esok (Selasa)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Siti Noraida sangat berharap orang ramai dapat mendoakan keselamatan suaminya.

Jelasnya, daripada penjelasan doktor sebelum ini, suaminya ketika ini berada dalam keadaan kritikal kerana masih belum menjalani sebarang pembedahan.

Namun begitu menurutnya, dia bersyukur kerana sebutir peluru yang terkena suaminya tidak terkena di bahagian utama badan.

Selain itu katanya, peluru juga tidak terdapat di bahagian perut, meskipun berlaku pendarahan yang banyak.

"Apa yang difahamkan oleh pihak hospital, usus suami sudah ditampal bagi mengelakkan pendarahan berterusan.

"Pembedahan esok akan dilakukan bagi melihat keadaan organ lain termasuk buah pinggang dan sebagainya," ujarnya.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata, menjadi satu harapan besar agar suaminya berada dalam keadaan stabil dan sedar sepenuhnya.

Menurutnya, suaminya pernah beberapa kali sebelum ini bertugas menjadi pengawal pengiring kepada ahli perniagaan, Farah Md Isa atau Farah Cie.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, Ahad, suspek berusia 38 tahun telah melarikan selepas melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu ketibaan jemaah umrah.

Bagaimanapun, tembakan dari jarak dekat itu telah mengenai pengawal peribadi wanita itu.

Siasatan awal polis percaya kejadian adalah bermotifkan perihal peribadi antara suspek dan isterinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!