Kes tembak di KLIA: Suspek direman esok
KOTA BHARU - Lelaki yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada Ahad lepas akan direman esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk mendapatkan perintah reman.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berkait kejadian selepas polis berjaya menahan suspek pada jam 3 petang.
"Hari ini kita akan proses dulu (soal siasat) suspek yang kita tahan tadi dan dia berada dalam keadaan sihat.
"Setelah polis selesai kumpul semua maklumat ke atas suspek, barulah kami akan buat sidang media pada 9 pagi esok di sini," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Isnin.
Sehubungan itu beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan selepas melarikan diri lebih daripada 24 jam, akhirnya suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang berjaya diberkas polis, pada Isnin.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan suspek ditangkap di Kota Bharu, Kelantan pada jam 3 petang.
Sementara itu menurut sumber, suspek ditahan bersama pistol di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam di sini, iaitu hanya beberapa meter dari IPK Kelantan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!