Konflik Iran-Israel tidak beri kesan besar kepada negara - PM
SHAH ALAM - Konflik Iran-Israel yang bermula pada Sabtu setakat ini tidak memberi kesan yang besar kepada negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana katanya, Bursa Malaysia mencerminkan trend serantau dibuka dengan kejatuhan yang kecil.
Walaupun begitu, Anwar berkata, Kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan semasa konflik dengan teliti bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan rakyat.
"Bagi kami (kerajaan), kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, pada pagi Isnin Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.
Menurut Anwar, tujuan mesyuarat berkenaan adalah untuk berbincang lanjut mengenai situasi tegang di Timur Tengah, dengan mengambil kira perbincangan yang telah diadakan pada Sabtu.
"Mesyuarat yang diadakan dua hari berturut-turut menunjukkan perhatian serius Kerajaan Madani terhadap isu ini, dan juga usaha yang diambil untuk memastikan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas oleh perkembangan ini," katanya.
Jelasnya lagi, bagi mendepani isu tersebut, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.
"Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan. Dalam hal ini, sumbangan Malaysia yang terbaharu sebanyak 100 kontena dijangka berlepas pada 27 April 2024," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Konflik Iran-Israel yang bermula pada Sabtu setakat ini tidak memberi kesan besar kepada negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #KonflikIranIsrael #AnwarIbrahim #BursaMalaysia
Suspenseful and tense orchestra(1318015) - SoLaTiDo
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!