Amir Hamzah ketuai delegasi ke mesyuarat bersama pelabur di New York

Amir Hamzah Azizan. Foto fail Bernama
Amir Hamzah Azizan. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat bersama pelabur di New York, Amerika Syarikat dari 14 hingga 16 April 2024.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat tersebut diadakan bersempena dengan kehadiran Amir Hamzah di Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa dan Kumpulan Bank Dunia 2024 di Washington DC, Amerika Syarikat dari 17 April sehingga 19 April, 2024.

"Pelabur menunjukkan minat yang tinggi untuk memahami asas dan potensi ekonomi Malaysia serta kemajuan melaksanakan agenda pembaharuan Ekonomi Madani.

"Keyakinan pelabur lebih kukuh ekoran pembaharuan fiskal yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk mengurangkan defisit, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta subsidi bersasar elektrik dan air,” kata beliau.

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal itu diadakan untuk memberi penerangan mengenai kedudukan semasa ekonomi dan perancangan kerajaan bagi terus mengukuhkan kewangan negara serta memudah cara pelaburan.

Pertemuan bersama pelabur antarabangsa seperti pengurus dana dan bank pelaburan itu juga akan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi Madani.

Pada 15 April, Amir Hamzah telah mengadakan sesi libat urus dengan para pelabur dan dalam sesi libat urus bersama pelabur yang dijadualkan di New York pada 16 April, 2024, beliau dijangka bertemu dengan seramai 50 pelabur global pelbagai bidang industri dan perniagaan Amerika Syarikat.

Sesi libat urus ini adalah penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar-dasar utama kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!