Selesai tiga perkara utama sebelum Zoo Johor dibuka
JOHOR BAHRU – Tiga perkara utama perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Zoo Johor dapat dibuka sepenuhnya kepada umum Ogos depan.
Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, tiga perkara tersebut adalah melibatkan tangki septik bagi najis binatang, penambahbaikan tebing runtuh dan juga penyelenggaraan bagi sistem pendawaian dan perparitan.
“Ikut perancangan, Zoo Johor ini patut dibuka pada penghujung April, tapi ada isu yang tiba-tiba di luar jangkaan seperti tangki najis binatang telah masuk ke kolam takungan binatang.
“Jadi, kita nak buat tangki najis persendirian bagi setiap haiwan di zoo ini dan fasa dua kita laksanakan kolam takungan.
“Kita terpaksa lewatkan pembukaan zoo ini bagi memberi masa kerja-kerja mengorek tembok lama bagi menangani masalah tebing runtuh selain menyelenggara sistem pendawaian dan perparitan,” katanya pada Isnin.
Untuk rekod, Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya ini, mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 12.5 hektar serta mempunyai lebih 100 spesies haiwan.
Bagaimanapun zoo berkenaan ditutup bagi proses penambahbaikan dan dijangka dibuka semula Ogos depan.
Tambah Mohd Jafni, kerajaan negeri Johor juga telah memperuntukkan RM7 juta sebelum ini dan menambah sebanyak RM1.1 juta bagi tujuan penambahbaikan zoo yang berusia 100 tahun itu sebelum dibuka kepada orang ramai.
“Daripada perbincangan kita dengan kontraktor, kesemua penambahbaikan ini akan ambil masa dalam tiga bulan lamanya.
“Maknanya, dalam bulan Julai, akan selesai kerja-kerja ini dan bila selesai zoo akan dibuka mulai Ogos,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jafni berkata, zoo berkenaan akan dibuka secara berperingkat kepada orang ramai kelak.
“Zoo ini tak pernah dibuka kepada orang ramai... jadi binatang yang ada akan terperanjat. Jadi, apa kita akan buat ialah kita akan buat pilot run dengan kuantiti kunjungan orang ramai, sebelum kita buka sepenuhnya.
“Tentang harga tiket, ya, dah ada, cuma kita belum umumkan. Tapi, harganya adalah yang terendah di Malaysia,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!