Kementerian Perpaduan Negara adakan sesi dialog bincang isu agama
SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara akan memanggil pihak yang terlibat dalam diskusi agama bersifat provokatif di media sosial untuk mengikuti satu sesi dialog dalam masa terdekat sebagai langkah memperbaiki suasana keharmonian dalam negara.
Timbalan Kementerian Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, perbincangan secara bersemuka itu diharap dapat menggalakkan persefahaman dan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan semua lapisan masyarakat.
"Kementerian ingin menekankan bahawa keupayaan seluruh rakyat meraikan kemajmukan etnik, kepelbagaian agama serta kekayaan budaya dan tradisi menjadi tunjang kekuatan negara kita.
"Kementerian akan mengambil langkah dengan kadar segera untuk memanggil semua pihak yang dikenal pasi membuat kenyataan provokatif agama dalam masa terdekat supaya isu-isu seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, kementerian itu mengadakan pertemuan dengan wakil Malaysia Hindu Sangam pada Isnin bagi membincangkan isu berkaitan kenyataan yang berbaur kebencian dan penghinaan agama yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Pertemuan tersebut dihadiri Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang; Saraswathy; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha, Sobri Mat Daud serta wakil-wakil daripada Hindu Sangam Malaysia.
Menurut Saraswathy, dalam pertemuan tersebut, Aaron turut menekankan bahawa kementerian sentiasa mengambil berat serta menggalakkan persefahaman dan penghormatan antara penganut agama.
“Ia bertujuan untuk memastikan setiap orang dapat mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing secara aman.
“Kementerian sentiasa berusaha untuk mencapai hasrat tersebut melalui pelbagai inisiatif dan program,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!