Trauma anak ketika kecil punca pengabaian warga tua
PUTRAJAYA - Anak-anak mengalami trauma sewaktu kecil cenderung mengabaikan ibu bapa yang tidak mampu menguruskan diri.
Pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh menjelaskan, trauma tersebut adalah berpunca daripada sikap ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka.
“Paling banyak saya terima kes bapa diabaikan kerana sewaktu mereka muda banyak kali kahwin cerai,” katanya.
Ujar beliau, apabila anak semakin membesar dan bapa mencapai usia lanjut, anak-anak yang menghadapi trauma dan tidak akan mempedulikan ayah mereka.
“Lelaki biasanya umur 35 hingga 45 tahun ini tengah ‘gatal’. Dapat anak, ibu jaga dan bapa kahwin lain. Bila tua, diabaikan,” ujar Hushim.
Selain itu menurutnya, faktor kewangan juga turut menyumbang kepada pengabaian warga emas.
Tambahnya, golongan itu kebanyakan memerlukan kos penjagaan yang tinggi berikutan masalah kesihatan dan sebagainya.
“Apabila anak-anak tidak mampu dari segi kewangan, mereka membiarkan ibu atau bapa di rumah orang tua,” katanya. Beliau berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini pengabaian warga tua semakin meningkat.
“Pengabaian ini bukan hanya melibatkan orang Melayu sahaja, ia juga membabitkan kaum Cina dan juga India,” ujar beliau. Malah, katanya perkara tersebut turut berlaku terhadap individu yang berprofil tinggi dan golongan atasan.
“Ada antara mereka bergelar Tan Sri tetapi anak-anak tidak mahu duduk sebumbung menjaga orang tua dengan pelbagai alasan,” katanya.
Ujar Hushim, ilmu kekeluargaan dan keibubapaan perlu dipertingkatkan dalam diri setiap ibu bapa bagi mengelakkan perkara itu berlaku di masa akan datang.
“Saya lihat kebanyakan ibu bapa sekarang tiada ilmu tersebut meskipun lulusan ijazah mahupun ijazah sarjana.
“Kita perlu tahu kemahiran berkomunikasi agar anak-anak tidak rasa terpinggir walaupun ibu bapa sibuk bekerja.
“Selain itu ibu bapa tidak boleh sewenang-wenangnya memandang ringan terhadap terhadap sentuhan emosi, fizikal mental dan sosial anak-anak,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!