Halloween jadi tarikan, Noor Muhamad tanam anggur di laman rumah
TEMERLOH - Berbeza berbanding varieti lain, ciri buah anggur jenis Halloween yang memanjang menjadi tarikan di Laman Anggur Temerloh yang diusahakan seorang penjawat awam di sini.
Noor Muhamad Othman, 37, di Taman Seri Lebak di sini mula menanam varieti tersebut sejak 2020.
Menurutnya, varieti tersebut bertukar kemerahan apabila masak dan antara paling manis hingga boleh mencapai 28 brix serta tidak berbiji.
“Saya mendapatkan anak pokok varieti ini dari negara jiran, Indonesia.
“Dan kini ia antara tarikan dan selain Halloween, saya juga menanam pelbagai varieti lain, antaranya Jupiter, Dickson, Lorano, Helido, Academic, Beauty Karasoka,” katanya mula mengusahakan tanaman anggur di tepi laman rumahnya sejak 2017.
Dia berkata, musim panas ketika ini banyak membantu menjadikan rasanya lebih manis dan masak sekata selain kurang diserang serangga perosak.
“Dijangkakan buah-buah anggur di laman ini akan masak ranum sepenuhnya dalam tempoh beberapa minggu lagi.
“Kalau musim hujan sedikit masalah, buah lebih mudah pecah kerana banyak air,” ujarnya.
Menurut Noor Muhamad, sebelum memilih tanaman anggur, dia telah menanam strawberi, cili dan rockmelon.“Saya sukakan tanaman yang unik, jarang diusahakan dan kemudian terfikir nak cuba anggur.
“Tak sangka bermula dengan hobi menanam, kini saya dapat banyak ilmu, pengalaman dan dapat berkongsi dengan mereka yang berminat mengusahakan tanaman anggur,” ujarnya.
Dia berkata, pada peringkat awal, harga anak pokok mahal di pasaran hingga mencecah RM350 sepokok, namun kini keadaannya sudah berubah.
“Dulu memang mahal, kini RM50 hingga RM100 sudah boleh dapat di pasaran,” katanya.
Ditanya perancangannya selepas ini, Noor Muhamad berkata, beliau ingin mengusahakan tanaman itu di kawasan lebih luas untuk perancangan jangka panjang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!