Ada juga ibu bapa tak puas hati anak dapat duit raya tak sampai RM5

Sambutan Aidilfitri bertambah meriah jika ada yang berkongsi rezeki dengan memberi duit raya.
Sambutan Aidilfitri bertambah meriah jika ada yang berkongsi rezeki dengan memberi duit raya.
A
A
A

DALAM beberapa hari ini, macam-macam cerita Merak Jalanan dengar pasal hari raya. Topik terhangat sudah tentulah kisah ‘jalan jem’ sehingga ada yang melabelnya paling teruk dalam sejarah.

Khabarnya, ada yang terpaksa meredah kesesakan lalu lintas sampai 20 jam. Kalau betullah apa yang Merak Jalanan dengar, itu sudah boleh dikira satu rekod baharu.

Satu lagi cerita tak kurang panasnya, ada yang terpaksa sambut raya tanpa bekalan air. Dikhabarkan sesetengah kawasan melibatkan beberapa buah negeri mengalami gangguan.

Bak kata seorang sahabat Merak Jalanan dari utara: “Ini memang dah kes naya”.

Manakan tidak, nak mandi pun susah. Takkan nak bergaya dengan baju Melayu baharu, tapi tak mandi.

Tetapi daripada cerita ‘jalan jem’ mahupun tiada air, Merak Jalanan lebih tertarik dengan satu lagi kisah yang tular baru-baru ini, pasal duit raya.

Ada seorang hamba ALLAH meluahkan rasa kecewanya di Facebook apabila anaknya hanya terima sampul duit raya yang mengandungi tiga keping wang RM1 daripada si pemberi.

Tarik nafas panjang Merak Jalanan apabila baca keluhan si bapa itu yang tular di laman sosial beberapa hari lalu. Tak sangka pula, masih ada yang masih bersikap sedemikian rupa.

Artikel Berkaitan:

Beringat sikit, bab memberi duit raya ini, ia bukan satu kewajiban. Kalau dapat walaupun nilainya di bawah RM5, bersyukurlah. Tak perlu persoalkan berapa jumlah yang diterima. Lagipun kita tidak tahu mungkin itu sahaja jumlah yang mampu bagi si pemberi.

Kadangkala si anak tidak ada masalah pun berapa jumlah yang mereka dapat. Cuma yang lebih-lebihnya adalah orang tua... si ibu bapa.

Merak Jalanan nak nasihatkan, sebaik-baiknya ibu bapa perlu lebih matang dalam hal ini. Ajarlah anak-anak terutama yang masih kecil erti bersyukur dengan apa yang mereka miliki.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!