‘Kami tiada pilihan lain’

Telaga tiub jadi pilihan penduduk di Kelantan, namun terpaksa berdepan dengan air yang berbau, berminyak dan berkeladak.
Telaga tiub jadi pilihan penduduk di Kelantan, namun terpaksa berdepan dengan air yang berbau, berminyak dan berkeladak.
A
A
A

KOTA BHARU - Penggunaan telaga tiub menjadi penyelesaian kepada penduduk di negeri ini selepas acap kali berdepan dengan masalah bekalan air bersih.

Walaupun air dari telaga tiub jernih, namun penduduk perlu berdepan dengan masalah berbau, berminyak dan berkeladak.

Penduduk di Kampung Teliar, Pasir Mas, Asiah Yunus, 71, berkata, dia dan keluarga menggunakan telaga tiub sejak 10 tahun lalu apabila sering berdepan dengan masalah air.

“Kawasan rumah kami berhampiran dengan sawah padi, jadi air yang ada sangat jernih tetapi berbau lumpur.

Proses menggali telaga tiub yang dilakukan oleh mereka yang mahir bagi mendapatkan air yang berkualiti.
Proses menggali telaga tiub yang dilakukan oleh mereka yang mahir bagi mendapatkan air yang berkualiti.

“Kadang kala kami perlu berdepan dengan masalah berkeladak sehingga menyebabkan lantai dan dinding bilik air kotor serta rosak,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Ujar warga emas terbabit, dia terpaksa menggunakan air tersebut kerana tidak sanggup berdepan masalah gangguan.

Bagaimanapun, air tersebut hanya digunakan untuk mandi dan mencuci kecuali pakaian.

Artikel Berkaitan:

Asiah memberitahu, untuk air minuman dan memasak pula akan menggunakan air bersih sedia ada atau membeli air dalam botol jika perkhidmatan tersebut bermasalah.

Bagi penduduk di Selising, Pasir Puteh, Kamarudin Che Hat, 59, air telaga tiub yang digunakan di kawasannya jernih, namun perlu berdepan dengan masalah berminyak serta berkeladak.

Kamarudin yang menggunakan telaga tiub sejak empat tahun lalu berkata, oleh kerana air tersebut digunakan untuk mencuci pakaian, selang beberapa hari dia terpaksa mencuci saluran air pada mesin basuh untuk mengeluarkan keladak yang terkumpul.

Proses menggali telaga tiub.
Proses menggali telaga tiub.

“Saya juga terpaksa mengeluarkan modal ribuan ringgit bukan sahaja untuk kos telaga tiub tetapi membeli penapis air.

“Jika musim kemarau, kami perlu berjimat cermat kerana tekanan air telaga tiub akan rendah serta berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yunus, 52, dari Wakaf Bharu, Tumpat berkata, sudah 10 tahun dia bergantung hidup kepada sumber air dari telaga tiub.

Ujarnya, setakat berbau dan berminyak, dia masih boleh bertahan lagi kerana ia jernih dan hanya itu pilihan yang ada.

“Sumber air ini tidaklah sebaik air yang disediakan oleh kerajaan.

“Sekurang-kurangnya ia mampu mengelakkan kami sekeluarga berdepan tekanan memikirkan masalah gangguan air,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!