Harapan pulang ke utara Gaza punah
GENTING GAZA - Ribuan penduduk Palestin termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak nekad untuk kembali semula ke kediaman masing-masing di utara Gaza pada Ahad.
Rakaman video menunjukkan Jalan al Rasheed di sepanjang pantai enklaf itu dibanjiri keluarga yang turut membawa barangan malah ada yang menaiki kereta sorong ditaik keldai dan trak pikap untuk berpindah beramai-ramai di bawah gelombang perpindahan terbesar sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.
“Saya mahu ke Bandar Gaza. Kami sudah penat jadi pelarian. Pada mulanya, kami dengar khabar sudah boleh kembali dan serahkan semuanya kepada ALLAH,” kata Majd El-Aqqad.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagaimanapun mendakwa maklumat yang tersebar tentang kebenaran pulang itu adalah palsu.
“Bahagian utara Gaza kekal menjadi zon perang aktif dan kembali ke kawasan itu adalah tidak dibenarkan buat masa ini memandangkan pasukan tentera kami masih beroperasi di sana,” menurut IDF dalam satu kenyataan.
Seorang warga emas, Um Mohammad juga menyertai kumpulan itu sambil menjunjung beg plastik hitam besar di atas kepalanya.
“Saya tidak tahu keadaan rumah saya. Ia tetap rumah dan tanah kami,” katanya sambil menangis.
Sejak awal tahun lalu, lebih 1.5 juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal berlindung di Rafah, namun ugutan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk melancarkan ofensif lebih ganas di kawasan paling selatan wilayah terkepung berkenaan menyebabkan golongan itu tiada lagi tempat selamat untuk dituju.
DITEMBAK REJIM ZIONIS
Omar al-Dahdouh yang memikul guni tepung sambil memegang tangan adiknya juga mahu pulang ke rumahnya walaupun sudah dibedil.
“Saya berpindah-randah selama enam bulan dan terpaksa tinggal di bawah khemah sementara. Saya tidak takut dan enggan lagi hidup seperti ini. Saya sudah penat. Adik-beradik saya perlu teruskan hidup,” ujar Omar al-Dahdouh.
Usaha berpindah semula itu tidak kesampaian apabila mereka dihalang merentasi ke utara.
“Pihak berkuasa Israel melepaskan tembakan ke arah kami apabila melihat ada lelaki dewasa bersama kami," kata Um Awni al-Jarousha.
Tindakan kekerasan rejim Zionis mencetuskan panik dalam kalangan kumpulan itu.
“Kami melihat unit kereta kebal Israel sejurus tiba di pos pemeriksaan. Ia terus menembak ke arah kami dan tiada siapa yang berjaya melintasi ke sana. Maklumat yang kami peroleh rupa-rupanya palsu,” kata seorang wanita nada sebak kerana dia terpaksa merisikokan nyawa anak-anaknya.
Klip video turut memaparkan sejumlah mangsa mengalami kecederaan serius akibat ditembak dan ada yang berlumuran darah akibat perbuatan kejam rejim Zionis.
Antara mangsa kezaliman Israel ialah Sally Abu Laila, 5, yang cedera ditembak ketika mahu merentasi ke utara bersama kedua-dua ibu bapanya.
Nour yang menyertai kumpulan perpindahan itu memberitahu rejim Zionis melepaskan tembakan secara melulu ke arah kumpulan lelaki yang tiba di pusat pemeriksaan.
“Kami tiada pilihan dan terpaksa berpatah balik. Kami tidak mahu mati,” tambahnya. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!