Penduduk bimbang jalan retak semakin serius

Gunasekaran (dua dari kiri) menunjukkan keadaan jalan masuk Taman Sri Kamban di Seremban yang retak.
Gunasekaran (dua dari kiri) menunjukkan keadaan jalan masuk Taman Sri Kamban di Seremban yang retak.
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk Taman Sri Kamban di sini, bimbang masalah keretakan jalan di laluan masuk ke kawasan perumahan itu yang didakwa semakin teruk boleh mengancam keselamatan mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Cheok Chong Yiu berkata, masalah itu mula dikesan Ogos tahun lalu dan aduan telah pun dibuat kepada pihak berwajib.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Ahli Majlis telah pun turun padang meninjau masalah ini, tapi sehingga kini tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

"Masa mula-mula itu masalah keretakan ini kecil saja, tapi sekarang saya tengok ia semakin teruk dan ia membuatkan kami bimbang yang jalan ini lama-kelamaan akan runtuh jika tiada tindakan lanjut diambil," katanya pada sidang akhbar bersama Gunasekaran di lokasi pada Selasa.

Menurutnya, dia tidak pasti punca kejadian itu, namun mendapati keadaan keretakan jalan terbabit semakin teruk setiap kali hujan lebat.

Mendapan di bahagian dinding penahan jalan.
Mendapan di bahagian dinding penahan jalan.

Dia mengesyaki kemungkinan ada saliran air di bawah tanah akibat paip pecah yang secara tidak langsung menyebabkan berlaku mendapan jalan.

"Kita bukan orang yang ada pengetahuan dalam bidang ini, sebab itu sangat berharap pihak berkaitan ambil perhatian mengenainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Gunasekaran berkata, tindakan awal sepatutnya diambil oleh pihak bertanggungjawab sebelum keadaan lebih serius berlaku.

Katanya, ini merupakan kali ketiga beliau turun meninjau masalah tersebut dan berharap akan ada tindakan lanjut diambil selepas ini, demi kebajikan dan keselamatan penduduk.

"Jika lihat di bahagian bawah dinding penahan jalan ini ada keluar air dan saya difahamkan walaupun cuaca panas, air itu sentiasa ada.

"Malah di sebahagian dinding penahan itu juga didapati ada yang sudah retak kemungkinan mendapan yang berlaku." katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!