Separuh pekerja akan berhenti jika kerjaya tidak berkembang
SHAH ALAM - Satu daripada dua rakyat Malaysia akan berhenti kerja sekiranya tiada kemajuan dalam kerjaya mereka, demikian menurut tinjauan yang dibuat oleh agensi pengambilan pekerja, Randstad.
Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, dalam kajian Workmonitor 2024, dapatan itu mendedahkan terdapat kemahuan yang progresif daripada pekerja di negara ini, yang mahu mengembangkan lagi kemajuan mereka.
"Pekerja Malaysia kebanyakan memilih untuk mendapatkan kedudukan gaji yang lebih tinggi, selain keseimbangan antara kerja dan rutin kehidupan mereka, oleh sebab itu mereka mencari majikan yang mampu menawarkan inisiatif ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tinjauan Workmonitor 2024 adalah mengenai persepsi terkini tenaga kerja terhadap pengembangan kerjaya di Malaysia.
Penyelidikan itu berdasarkan dapatan daripada 517 pekerja tempatan berhubung jangkaan dan pengalaman kerjaya mereka berdasarkan empat pertanyaan utama iaitu mengenai cita-cita dan motivasi, fleksibiliti dan pemahaman kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran.
Katanya, sekiranya mereka berhenti kerja tidak bermaksud mereka tidak mahu meneruskan karier sebaliknya mencari peluang yang lebih baik.
"Ini kerana empat daripada lima responden, iaitu sebanyak 81 peratus akan meningkatkan kemahiran dalam mencari tempat kerja baharu yang lebih baik," katanya.
Fahad berkata, sementara itu, 55 peratus akan kekal pada satu kerjaya, sekiranya mereka gembira dengan kerja tersebut, meskipun tiada ruang untuk kembangkan bakat mereka.
Dalam pada itu, katanya, di Malaysia, 53 peratus responden berkata, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran dalam kerjaya di mana tempat mereka bekerja.
"Sementara itu 40 peratus responden mengatakan mereka gembira di mana tempat mereka bekerja kini dan tidak mahu menukarkan kerja," ujarnya.
Katanya lagi, lima faktor penting yang menjadi penentu utama kepada pekerja untuk kekal bekerja atau sebaliknya.
"Sebanyak 94 peratus berkata mereka memilih antara imbangan kerja-kehidupan dan gaji yang baik, manakala 90 peratus memilih insurans kesihatan serta faedah penjagaan kesihatan.
"89 peratus memilih fleksibiliti waktu bekerja, 88 peratus keselamatan waktu bekerja dan 87 peratus untuk sokongan kesihatan mental," katanya.
Tambahnya lagi, dapatan juga mendapati satu daripada dua rakyat Malaysia bimbang kehilangan pekerjaan mereka disebabkan ramalan ketidaktentuan ekonomi pada 2024.
"Di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi, satu daripada dua rakyat Malaysia takut kehilangan pekerjaan, terutamanya dalam kalangan Gen Z (59 peratus) dan milenium (57 peratus)," katanya.
Tambahnya lagi, tinjauan juga mendapati dua daripada lima rakyat Malaysia sedang mencari atau mempunyai kerja kedua disebabkan peningkatan kos sara hidup.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!