Suspek kes tembak di KLIA miliki empat kad pengenalan individu lain
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad mempunyai empat kad pengenalan milik individu lain bersamanya semasa ditahan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, salah satu daripada kad pengenalan tersebut telah digunakan untuk mendaftar penginapan di sebuah hotel di sini.
"Disebabkan itu pihak hotel tidak dapat mengesan suspek adalah orang yang polis kehendaki," katanya semasa sidang media di IPK Kelantan pada Selasa.
Menurut beliau, suspek yang berusia 38 tahun itu dibawa pulang ke Selangor untuk menyelesaikan segala siasatan berkait kes Sekysen 307 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Ujarnya, pihak polis juga akan memanggil semula beberapa saksi untuk memperkemaskan lagi siasatan dan seterusnya ke pendakwaan.
Mohd Shuhaily memberitahu, pihaknya percaya suspek berusaha untuk meloloskan diri ke luar negara.
"Bagaimanapun kita masih lagi siasat kaedah yang digunakan suspek.
"Melalui duit, pasport serta rekod perjalanan menunjukkan suspek kerap ke luar negara," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi pada Ahad, suspek berusia 38 tahun melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.
Bagaimanapun, satu das tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.
Suspek kemudian terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu, Kelantan, pada Isnin.
Suspek kemudian telah direman tujuh hari sehingga 22 April.
Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!