Lebih 10,000 pelawat industri pelancongan sertai MITE 2024
KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Tourism Pahang menjangkakan lebih 10,000 pelawat industri pelancongan termasuk pengusaha pelancongan dari rantau Asia Tenggara menyertai Malaysia International Tourism Expo (MITE) 2024 Pahang pada Oktober depan.
Acara yang julung kali diadakan di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre di sini, berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Oktober tahun ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, MITE 2024 adalah satu usaha baharu antara agensi kerajaan dan pemain industri untuk menaikan nama Pahang khususnya Kuantan sebagai satu hab pertemuan pemain industri.
"Bukan sahaja tempat pelancongan di Pahang, tetapi kita hendak menaikkan potensi negeri atau Kuantan sebagai tempat pertemuan seperti kita dulu (sebelum ini), kita selalu menghadiri expo pelancongan di luar negara dan bertemu dengan pemain industri dari negara atau negeri lain.
"Dan (untuk kali ini) kita di Pahang dan (khususnya) di Kuantan menjadi satu hab baharu untuk pertemuan bagi pemain industri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Tourism Pahang pada Selasa.
Hadir sama Presiden dan ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitaliti 360, Datuk Sri Omar Naresh Mohan; Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dan Pengerusi MIT Pahang, Uzaidi Udanis.
Yu Man memberitahu antara objektif penganjuran ini adalah untuk menyediakan platform 'perniagaan kepada perniagaan' (B2B) kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia.
Jelasnya, expo tersebut dapat memupuk kerjasama antara satu sama lain selain menawarkan seminar dan bengkel kepada pemain industri bagi mendapatkan pandangan dan pengetahuan.
"Jadi, untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mendapatkan sumber dan transaksi perniagaan dalam kalangan peserta pameran serta pembeli.
"Selain itu, ia menggalakkan kemampanan, menyokong amalan pelancongan bertanggungjawab yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan kesejahteraan penduduk tempatan, memastikan daya maju jangka panjang pembangunan pelancongan di rantau ini," jelas beliau.
Dalam pada itu, Yu Man berkata, pelbagai program dan aktiviti juga dirancang iaitu pameran pelancongan membabitkan penyertaan seluruh negeri di Malaysia, rantau Asia Tenggara dan juga seluruh dunia.
"Penganjuran seminar pelancongan ini bagi membincangkan isu pelancongan daripada pakar industri pelancongan pelbagai negara.
"Sesi B2B memudahkan rangkaian dan interaksi perniagaan dalam kalangan pembeli serta penjual industri pelancongan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!