Lebuh raya baharu Tanjung Malim-Lumut dalam perhatian Kementerian Kewangan

Saarani (tengah) bersama tetamu jemputan melawat ladang solar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air pada Selasa.
Saarani (tengah) bersama tetamu jemputan melawat ladang solar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air pada Selasa.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak mengesahkan projek lebuh raya baharu yang akan menghubungkan Tanjung Malim dengan Lumut telah didaftarkan di Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lebuh raya tersebut merupakan salah satu daripada 10 projek yang disenaraikan untuk perhatian Kementerian Kewangan.

Menurutnya, cadangan lebuh raya itu dibuat sebagai perancangan jangka masa panjang apabila Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) beroperasi untuk memudahkan pengangkutan logistik ke Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

"Kita ada 10 projek yang kita senaraikan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Perak baru-baru ini. Pertama kita senaraikan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Kerian dan kedua ialah projek lebuhraya Tanjung Malim - Lumut.

"Jadi produk-produk yang dihasilkan di AHTV akan dihantar ke LUMiC untuk eksport dan kita akan perkasakan pelabuhan Lumut itu nanti," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air di sini pada Selasa.

Saarani (kiri) ketika menyempurnakan gimik Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air pada Selasa.
Saarani (kiri) ketika menyempurnakan gimik Perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera di LSS4 Tali Air pada Selasa.

Saarani berkata, pelaksanaan projek tersebut akan mengambil masa dan dijangka bermula bersama-sama pembangunan AHTV di Tanjung Malim.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang perincian melibatkan jajaran dan jarak lebuhraya berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, perasmian ladang solar milik syarikat Asiabina Solar itu merupakan detik penting dalam menyokong penggunaan tenaga bersih dan lestari di Perak.

Jelasnya, ia merupakan langkah awal menjadikan daerah Kerian sebagai hab pembangunan teknologi tinggi dan hijau sebagaimana rancangan kerajaan dalam membangunkan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).

"Ladang solar berkapasiti 50MW ini mampu menjana tenaga hijau untuk 25,000 isi rumah setahun, mengurangkan 100,000 tan pelepasan karbon dioksida dan menjimatkan penggunaan elektrik setiap tahun.

"Ia selaras dengan Agenda Teknologi Hijau dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030," katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Saarani turut menyampaikan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 peserta yang merupakan penduduk setinggan di rizab Sungai Kerian.

Menurutnya, kesemua peserta akan ditempatkan di pangsapuri yang dibina secara usaha sama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan Bumi Johan Sdn Bhd yang juga anak syarikat Asiabina.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!