Berkas suspek tembakan di KLIA, bukti kecekapan polis - Musa Hassan
SHAH ALAM - Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, membuktikan kecekapan risikan dan operasi pasukan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, itu satu tindakan terbaik PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam tindakan mengesan sebelum menahan dan membawa suspek ke muka pengadilan (reman).
"Ini sekali gus dapat mempertingkat kepercayaan masyarakat dan membuatkan mereka (masyarakat) rasa lebih selamat.
"Saya harap prestasi serta kecekapan pasukan polis diteruskan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, seluruh warga pasukan juga dinasihat untuk teruskan komitmen dan tugas dengan integriti tinggi.
Ujar Musa, beliau harap pihak pengurusan tertinggi PDRM terus memberi semangat dan motivasi kepada pegawai dan anggota di bawah untuk terus jalankan tugas dengan cemerlang.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, pada Ahad, suspek berusia 38 tahun melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.
Bagaimanapun, satu das tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.
Suspek kemudian terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.
Suspek kemudian telah direman tujuh hari sehingga 22 April.
Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!