[VIDEO] 'Sambut Aidilfitri ala kadar, masih terkenang arwah anak'
SABAK BERNAM - Berat ujian ditanggung Yusnita Abdullah Yusof, 44, apabila terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa anak tersayang, Izatul Azwa Norollah, 17.
Izatul Azwa yang dilaporkan hilang selama tujuh hari meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam parit di Kilometer (KM) 54 Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Haji Dorani di sini pada 3 Mac lalu.
Yusnita memberitahu, Aidilfitri yang disambut kali ini penuh kesederhanaan kerana masih bersedih dengan kehilangan anak kedua daripada enam beradik itu.
"Kami sambut ala kadar sahaja, tidak beria seperti tahun sebelumnya dan ketika ini sudah tentu kami sekeluarga amat rindukan arwah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar di sini pada Selasa.
Menurut Yusnita, akibat terlalu rindukan anaknya itu, dia mengalami demam selama seminggu dan bermimpi arwah anaknya itu.
"Dalam mimpi itu, saya nampak arwah berselendang putih datang ke arah saya dengan wajahnya yang tersenyum.
"Walaupun hanya bermimpi, tetapi setidaknya ia dapat juga mengubat kerinduan terhadap arwah lebih-lebih lagi semasa Ramadan lalu," ujarnya.
Menurut Yusnita, beliau dan keluarganya juga sempat memenuhi hasrat Izatul Azwa yang semasa hayatnya merancang menjual lemang, ketupat dan rendang semasa Ramadan.
Katanya, hasrat itu dapat dipenuhinya dua hari sebelum umat Islam menyambut ketibaan Aidilfitri.
"Kami tidak dapat berniaga sepanjang Ramadan lalu atas kesibukan masa, tetapi kami cuba memenuhi hasrat arwah.
"Alhamdulillah, kami dapat berniaga di tepi jalan dan menerima sambutan baik daripada jiran dan pelanggan yang datang singgah," ujarnya.
Berkongsi makanan kegemaran Allahyarham semasa Aidilfitri, Yusnita memberitahu, hidangan limpa masak rendang kebiasaannya dihidangkan semasa 1 Syawal.
"Arwah sememangnya menggemari juadah limpa rendang, selain biskut raya antaranya almond dan tart nanas," kata Yusnita lagi.
Sinar Harian pada 5 Mac lalu melaporkan, remaja perempuan yang ditemui maut dalam kemalangan selepas dilaporkan hilang sejak tujuh hari berhasrat menjual ketupat dan rendang semasa Ramadan ini.
Mayat Izatul Azwa ditemui bersama motosikal Yamaha Y15ZR ditunggangnya dan siasatan awal polis mendapati mangsa dari arah Sekinchan dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!