Guna semua pendekatan tuntut wang royalti - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Kerajaan Terengganu sedang mempertimbangkan semua pendekatan termasuk tindakan undang-undang berhubung isu tunggakan pembayaran wang royalti minyak negeri itu, tahun lalu.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu akan dilaksanakan sekiranya Kerajaan Persekutuan masih enggan melunaskan tunggakan pembayaran tersebut.

"Langkah tersebut akan melibatkan urusan mahkamah. (Hingga ke peringkat itu akan diusahakan jika royalti masih tidak dibayar).

"Bergantung kepada bidang kuasa mahkamah, menunjukkan keputusan yang dilakukan akan berlandaskan keadilan," katanya seperti dipetik melalui portal rasmi kerajaan negeri pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pihaknya juga akan menggunakan segala ruang sama ada politik dan undang-undang bagi mengembalikan semula hak royalti yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Terengganu.

"Baru-baru ini Terengganu ingin melaksanakan Munajat (Program Munajat Rakyat Terengganu), namun ditangguhkan kerana kerajaan pusat membayar wang ehsan yang disebut sebagai royalti, walaupun jumlahnya sedikit.

“Bagi tindakan politik pula, seperti yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar iaitu berunding bagi mencari jalan penyelesaian,” jelasnya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan Wang Ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lepas bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Artikel Berkaitan:

MOF dalam kenyataan pada 8 April lepas memaklumkan selain itu, bayaran RM103.1 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk obligasi kerajaan negeri kepada kontraktornya.

Menurut kenyataan itu, sebarang baki Wang Ihsan akan tetap digunakan untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama menyebut Kerajaan Madani komited memastikan bahawa Wang Ihsan dikhususkan untuk manfaat negeri Terengganu dan Kelantan dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!