Enam soalan buat PKR - Hassan Karim

Hassan Karim.
Hassan Karim.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengemukakan enam soalan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan konvensyen khas yang akan diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan parti itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada 21 April ini.

Beliau berkata, pemimpin dan anggota parti seramai lebih sejuta orang di 222 kawasan Parlimen seluruh negara akan berani bermuhasabah dan memeriksa kekuatan mereka sendiri dengan menjawab persoalan tersebut.

“Pertama, bagaimanakah PKR dan Pakatan Harapan (PH) dapat mengatasi kekangan untuk melaksanakan agenda reformasi dalam Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh 19 parti politik?

“Kedua, bagaimanakah PKR dan PH berusaha menghadapi cabaran sebagai sebuah parti politik pelbagai kaum yang bersifat sederhana di tengah-tengah politik identiti kaum dan agama sempit dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti?

“Ketiga, apakah usaha dan strategi PKR dan PH untuk meningkatkan sokongan pengundi Melayu Islam supaya memihak kepada Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hassan turut mempersoalkan sokongan masyarakat Cina, India dan pribumi di Sabah serta Sarawak masih teguh menyokong PKR dan PH.

“Selain itu, sejauh manakah rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai kerajaan Persekutuan cukup memuaskan sehingga rakyat bersedia untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar dalam PRU16?

“Terakhir, khusus kepada lebih sejuta anggota PKR untuk menjawab soalan ini iaitu sudah bersediakah PKR menyediakan calon pengganti Anwar sebagai presiden parti dan Perdana Menteri yang akan datang apabila sampai masa dan saatnya beliau akan berundur?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Hassan berkata, dalam tempoh satu perempat kurun, PKR telah mengalami jatuh dan bangun sebagai parti politik nasional bermula dengan penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 4 April 1999 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Menurutnya, dalam tempoh 25 tahun itu, Anwar sebagai pemimpin PKR telah melalui ujian yang amat getir dan berat kerana memperjuangkan agenda reformasi dalam menghadapi tiga Perdana Menteri kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, ujar Hassan, PKR telah mengalami transformasi kualitatif daripada sebuah organisasi massa rakyat di jalanan menjadi kekuatan tulang belakang dalam penubuhan beberapa kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Perak bermula pada 2008.

“Kemudian, PRU14 pada 2018, PKR bersama gabungan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menumbangkan kerajaan BN dan buat pertama kalinya PH menjadi kerajaan.

“Tetapi ketika itu Anwar masih terpenjara. Maka, kemenangan PH dalam PRU14 itu diikuti dengan pembebasan Anwar telah membuka ruang dan peluang kepada PKR dan PH dalam PRU15.

“Lima tahun kemudiannya pada November 2022 sekali lagi membentuk kerajaan dengan kali ini Anwar pula dipilih menjadi Perdana Menteri ke-10,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!