Guna e-mel perangkap mangsa

Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam kerugian hampir RM5,000 apabila sebahagian wang dalam akaun banknya lesap selepas mengemaskini akaun tersebut melalui satu pautan laman web sebuah bank yang diterimanya menerusi e-mel, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 50 tahun itu mendakwa dia menerima e-mel kononnya dari bank berkenaan yang memintanya mengemaskini maklumat perbankan internetnya.

Menurutnya, mangsa akur apabila berbuat demikian pada hari berikutnya melalui pautan laman web tersebut dan turut memasukkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterima.

"Selepas nombor TAC dimasukkan, mangsa menerima pesanan dari Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dipercayai dari pihak bank memaklumkan mangsa telah menambah sebuah akaun bank dari bank lain sebagai 'favourite account transfer'.

"Mangsa mendakwa dia tidak mengenali dan tidak pernah mendaftar akaun tersebut," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga lalu membuat semakan akaunnya melalui pihak bank dan mendapati wangnya berkurangan RM4,980.

"Mangsa telah menyekat akaun banknya bagi mengelak berlaku transaksi pengeluaran wang oleh pihak lain.

"Selepas menyekat akaun banknya, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali dipercayai anggota sindiket yang bertanyakan berhubung transaksi akaun banknya sebelum meminta nombor empat digit terakhir kad banknya namun mangsa tidak melayan sebaliknya terus menamatkan panggilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa telah membuat semakan semula e-mel yang diterima bagi mengemaskini akaun bank miliknya itu dan mendapati ia telah dipadamkan sedangkan dia tidak pernah memadamkan e-mel itu dari senarai masuk.

"Menyedari dia menjadi mangsa penipuan, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan bagi mengesan dan menahan suspek terlibat untuk didakwa di mahkamah dengan segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!