Trend berjoget 'Alamak Raya Lagi' boleh jatuh hukum haram - Mufti

Mohamad Sabri
Mohamad Sabri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Aksi dan gaya tarian menggunakan lagu 'Alamak Raya Lagi' sempena sambutan Aidilfitri yang menjadi trend dan ikutan ramai terutama wanita beragama Islam boleh membawa kepada hukum haram sekiranya mendedahkan aurat pelakunya.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, trend yang dilakukan semata-mata untuk kandungan media sosial itu perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah dan mempamerkan aurat wanita.

Menurutnya, perbuatan itu juga bukan sahaja menyerlahkan reputasi yang negatif kepada pelakunya malah turut mencemarkan perayaan Aidilfitri yang diraikan oleh seluruh umat Islam.

"Sepatutnya perbuatan tersebut dielakkan kerana boleh menonjolkan aurat yang boleh membawa kepada haram.

"Sebarang perbuatan yang negatif sudah pasti mencemarkan keharmonian perayaan Aidilfitri itu sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Sabri turut meluahkan rasa kesal atas tindakan masyarakat beragama Islam yang mudah terikut-ikut dengan trend semasa sehingga melupakan batas agama.

"Kita kesal dengan masyarakat kita yang suka membuat trending apabila ada sesuatu yang dilihat baharu tanpa berfikir sama ada ia positif atau negatif.

"Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya jangan mudah terikut-ikut dengan budaya baharu.

Artikel Berkaitan:

"Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, jika tidak, ia dibimbangi akan menjerumuskan diri kepada fitnah yang mencemarkan budaya harmoni kita," ujarnya.

Aksi menari secara terbuka di media sosial menggunakan latar belakang lagu 'Alamak Raya Lagi' sebelum ini turut ditegur oleh beberapa pendakwah bebas yang meminta agar ia dihentikan kerana bercanggah dengan ajaran agama Islam dalam menyambut perayaan Aidilfitri.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!