Gangguan kuasa jejas kekerapan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya
KUALA LUMPUR - Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang beroperasi dengan bilangan tren yang terhad akibat kegagalan sistem bekalan kuasa yang disambar petir pada jam 3.30 petang hari ini.
Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kejadian tersebut mengakibatkan tren-tren tambahan dari Depoh LRT Subang tidak dapat digerakkan untuk kegunaan operasi pada waktu puncak.
"Susulan daripada gangguan ini, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kekerapan tren 4 hingga 5 minit.
"Beberapa fasiliti seperti eskalator, lampu dan lif di tiga stesen LRT iaitu Stesen Kelana Jaya, Stesen Taman Bahagia dan Stesen Taman Jaya tidak dapat berfungsi namun pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan LRT seperti biasa di stesen-stesen tersebut," menurut kenyataan tersebut.
Menurut Prasarana, para pengguna perkhidmatan LRT disaran menggunakan laluan rel alternatif seperti laluan LRT KL Sentral ke MRT Muzium Negara dan Monorel KL Sentral, LRT Dang Wangi ke Monorel Bukit Nanas, LRT KLCC ke MRT Persiaran KLCC serta LRT Ampang Park ke MRT Ampang Park.
Prasarana turut memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan oleh jurutera Rapid Rail dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada pengguna menerusi kenyataan media serta platform media sosial Rapid KL.
"Anggota Polis Bantuan dan petugas stesen juga telah ditempatkan di platform dan kawasan ruang legar stesen bagi membantu pergerakan penumpang. Pengumuman di platform juga dijalankan secara berterusan," menurut kenyataan itu.
Pihak Rapid Rail turut memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kelewatan yang dialami oleh para penumpang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!