Serangan kapal oleh puak Houthi, ekonomi Malaysia kurang terjejas
SHAH ALAM - Tindakan puak Houthi menyerang lebih 40 kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah tidak memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, serangan berkenaan mengganggu industri perkapalan dunia termasuk kapal yang menghantar produk Malaysia turut terjejas.
"Apa yang berlaku sekarang? Banyak syarikat perkapalan dunia mengelak daripada menggunakan Laut Merah. Mereka menggunakan laluan lebih jauh iaitu melalui Tanjung Harapan.
"Impaknya adalah masa perjalanan jadi lebih panjang, kalau ikut laluan Laut Merah hanya ambil masa 20 hari tetapi melalui Tanjung Harapan mampu cecah lebih 30 hari. Kos pengangkutan juga naik," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Bagaimanapun menurut beliau, kesan terhadap ekonomi Malaysia masih tidak signifikan disebabkan oleh beberapa faktor.
Ujarnya, perdagangan Malaysia lebih tertumpu rantau ASEAN dan Asia Timur di mana setiap kapal yang melakukan penghantaran tidak akan menggunakan laluan Laut Merah.
"Pada 2023, perdagangan masing-masing menyumbang 27.3 peratus (%) dan 36.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia.
"Secara perbandingan, perdagangan antara Malaysia, Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara yang menggunakan laluan laut merah berada pada paras jauh lebih rendah. Masing-masing menyumbang 7.8%, 4.3% serta 0.3%.
"Walaupun impaknya minimum setakat ini, kerajaan akan terus memantau situasi ini serta kesannya kepada syarikat-syarikat Malaysia," tambah beliau.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, walaupun tidak sekutu dengan Israel tetapi kemungkinan kapal Malaysia turut diserang masih ada.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!