Banjir kilat: Warga emas terpaksa tumpang berbuka puasa rumah jiran

Rumah Rokiqh dinaiki banjir lumpur dalam kejadian banjir kilat di Kampung Baru Blok C, Ampangan pada petang Selasa. (Gambar kecil: Rokiah)
Rumah Rokiqh dinaiki banjir lumpur dalam kejadian banjir kilat di Kampung Baru Blok C, Ampangan pada petang Selasa. (Gambar kecil: Rokiah)
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita warga emas terpaksa menumpang berbuka puasa di rumah jirannya selepas rumahnya di Kampung Baru Blok C, Ampangan dekat sini dilanda banjir kilat pada petang Selasa.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Rokiah Tompang, 75, sedang membuat persiapan berbuka puasa bersama keluarganya.

Dia yang berpuasa sunat enam Syawal berkata, jika tahun lalu rumahnya dinaiki banjir pada malam Aidilfitri tetapi kali ini pula ketika mereka masih dalam 'mood' hari raya.

"Saya tinggal di sini dengan dua anak lelaki bersama menantu serta seorang anak saudara dan kami perlu hadapi isu banjir ini setiap kali hujan lebat.

"Kalau kami tinggal menyewa di sini, dah lama kami pindah. Tapi ini rumah sendiri, jadi kena redalah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menceritakan kejadian itu, Rokiah berkata, ia berlaku agak pantas dan air deras datang dari bahagian depan rumahnya.

Tambahnya, sebaik menyedari perkara tersebut, anak-anaknya terus memimpinnya keluar dari rumah kerana bimbang air akan naik lebih tinggi.

"Mujurlah rumah jiran berhampiran tak dinaiki air, dapatlah saya tumpang berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

"Tadi air naik sehingga satu kaki (0.30 meter) dan sebelum ini rumah kami pernah naik sehingga paras tingkap," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Landak, Ishak Malek berkata, rumah wanita warga emas berkenaan antara 13 rumah yang dinaiki air di kampung berkenaan.

Keadaan banjir kilat di Kampung Baru Blok C di Ampangan
Keadaan banjir kilat di Kampung Baru Blok C di Ampangan

"Alhamdulillah kira-kira jam 8.30 malam, air sudah mula surut. Cumanya kita tetap bimbang kerana hujan masih berterusan.

"Saya telah panjangkan perkara ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan untuk perhatian dan untuk bantuan awal, kita akan bantu sediakan sarapan pagi untuk mereka yang terjejas esok (Rabu)," katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan memaklumkan kejadian banjir kilat turut berlaku di beberapa kawasan lain di daerah ini termasuk di DUN Ampangan, Nilai dan Sikamat.

Bagaimanapun katanya, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka dan kebanyakan kawasan air telah pun surut sepenuhnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!