Durian Tunggal banjir lagi

Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Padang Kerbau pada Selasa.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Padang Kerbau pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Hujan lebat sejak petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Khalil berkata, antara kawasan terlibat termasuk Bukit Tambun, Padang Keladi, Pantai Belimbing, Kampung Pulau, Padang Kerbau dan Bukit Balai.

Menurutnya, banjir kali kedua yang berlaku sejak Ahad lalu menyebabkan rumah penduduk berdekatan sungai seperti Bukit Balai dan Bukit Tambun dinaiki air dan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

Zahari (dua,kiri) ketika melawat mangsa banjir di PPS Balai Raya Bukit Balai, di sini, pada malam Selasa.
Zahari (dua,kiri) ketika melawat mangsa banjir di PPS Balai Raya Bukit Balai, di sini, pada malam Selasa.

Malah menurutnya, tinjauan di Pantai Belimbing pula mendapati antara punca banjir didakwa disebabkan longkang dan parit yang tidak diselenggara dengan baik.

"Ada di Pantai Belimbing saya ziarah tadi rumah di tepi sawah, ada kekangan saya minta Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) bersihkan parit-parit rumah yang berdekatan sawah.

"Sebelum ini tidak berlaku banjir, tapi bila dah dua kali banjir (dua hari lalu) saya lihat parit tidak dibersihkan," katanya ketika ditemui di PPS Bukit Balai Durian Tinggal dekat sini pada malam Selasa.

Hujan lebat sejak jam 4 petang itu turut melanda beberapa kawasan lain di negeri ini seperti DUN Lendu yang membabitkan penduduk di Taman Ria Masjid Tanah, Sungai Jernih di DUN Taboh Naning dan Kampung Lubok China di DUN Ayer Limau.

Artikel Berkaitan:

Di daerah Melaka Tengah pula membabitkan Taman Krubong Permai dalam DUN Paya Rumput bagaimanapun jumlah keseluruhan mangsa terjejas belum dipastikan lagi.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan Melaka mengaktifkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 122 mangsa banjir susulan hujan lebat sejak petang Ahad.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, setakat jam 8 pagi daerah Alor Gajah merekodkan pemindahan mangsa yang tertinggi ke PPS dengan 110 mangsa.

Menurutnya, ini termasuk 72 mangsa dari 25 keluarga dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal manakala 38 mangsa dari tujuh keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!