Pupuk perpaduan melalui bahasa

Kepelbagaian kaum di Malaysia sememangnya membawa keunikan lebih-lebih lagi apabila mempunyai perbezaan dari segi bahasa, dialek dan loghat. (Gambar kecil dari kiri: Nabiha Khairani, Kamarudian, Putri Syahmina Damia)
Kepelbagaian kaum di Malaysia sememangnya membawa keunikan lebih-lebih lagi apabila mempunyai perbezaan dari segi bahasa, dialek dan loghat. (Gambar kecil dari kiri: Nabiha Khairani, Kamarudian, Putri Syahmina Damia)
A
A
A

SHAH ALAM - Keunikan pelbagai kaum di Malaysia sememangnya istimewa apabila kebanyakan orang Melayu mampu menguasai bahasa ibunda kaum lain iaitu Mandarin dan Tamil di mana ia membantu untuk memupuk perpaduan yang lebih erat.

Situasi berkenaan dapat dilihat menerusi kebanyakan video atau hantaran yang dimuat naik di media sosial apabila masyarakat berbilang bangsa bertutur menggunakan bahasa kaum lain selain bahasa utama mereka dalam percakapan seharian.

Pencipta kandungan TikTok, Nabiha Khairani Ishrolkhir, 26, berkata, dia mahir bertutur dalam lapan bahasa iaitu Mandarin dan Tamil termasuk enam bahasa antarabangsa seperti Sepanyol, Perancis, Arab, Korea, Tagalog serta Hindi.

“Saya mula mempelajari bahasa kaum lain menerusi YouTube, televisyen termasuk rakan-rakan sejak berusia 9 tahun. Sekarang saya bekerja sebagai pencipta kandungan di TikTok dan sentiasa melakukan siaran langsung yang memerlukan saya bercakap dengan orang asing.

“Jadi apabila saya belajar semua bahasa itu, ia akan memudahkan saya untuk berkomunikasi dengan mereka,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

No Image Caption

Bagi ahli perniagaan, Kamarudin Abdullah, 71, kemahiran bertutur dalam bahasa Tamil bermula sejak kecil ketika menetap di Estet Tekal, Kuala Krau, Pahang.

Ujarnya, bukan mudah untuk menguasai bahasa tersebut tetapi disebabkan sering bergaul dengan rakan dan jiran berbangsa India, menjadikan dia mahir untuk bertutur serta menulis.

Artikel Berkaitan:

“Saya berkawan dengan ramai penduduk India di Estet Tekal, saya tiada kawan Melayu. Jadi untuk memudahkan proses komunikasi dan mengeratkan hubungan, saya ambil alternatif untuk belajar sendiri.

“Kemahiran ini sangat berguna sebab boleh berkomunikasi dengan lebih mesra dengan kaum India. Nak mahir tidak susah, cuma perlu rajin bertanya dan perlu ada perasaan terpaksa. Lama-lama kita akan mahir,” tambah Kamarudin.

Bagi pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Putri Syahmina Damia Mohamad Nazli, 24, dia menguasai bahasa Mandarin seawal berusia empat tahun iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru.

Ujarnya, menguasai bahasa lain selain bahasa ibunda adalah penting untuk memudahkan urusan kerana ia membantu memahami percakapan yang dituturkan oleh komuniti setempat.

“Kita juga akan memperoleh penghormatan daripada bangsa lain kerana mampu menguasai bahasa mereka. Jika tonton filem atau dengar lagu pun senang faham tanpa terjemahan.

“Peluang untuk mendapat pekerjaan juga lebih tinggi kerana sekarang banyak syarikat yang bekerjasama dengan organisasi dari luar seperti China, Asia Barat dan Korea meletakkan syarat untuk menguasai bahasa tersebut,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!