[VIDEO] Penduduk dakwa siren amaran banjir tidak bunyi

A
A
A

ALOR GAJAH - Penduduk di Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal, di sini, mendakwa siren amaran banjir tidak berbunyi ketika air sungai melimpah dan menyebabkan penduduk kelam kabut sebaik menyedari kediaman dinaiki air.

Mangsa banjir, Zai Zali Abd Karim,41, yang tinggal empat beranak termasuk anaknya berusia setahun lima bulan kesal kerana masalah siren bukan baharu berlaku dan sebelum ini pernah mengalami kerosakan.

Keadaan rumah Zai Zali di Bukit Tambun yang dilanda banjir.
Keadaan rumah Zai Zali di Bukit Tambun yang dilanda banjir.

Menurutnya, seharusnya pihak berkaitan memantau keadaan siren amaran agar dapat diaktifkan sekiranya paras air sungai mula naik bagi memudahkan penduduk bersiap-siaga dan berpindah ke tempat lebih selamat.


Zai Zali (dua,kiri) meluahkan kekesalan mengenangkan rumahnya berhampiran sungai di Kampung Bukit Tambun, di sini, sering dinaiki air.
Zai Zali (dua,kiri) meluahkan kekesalan mengenangkan rumahnya berhampiran sungai di Kampung Bukit Tambun, di sini, sering dinaiki air.

"Pernah air sungai tidak dalam disebabkan cuaca panas, tapi siren amaran berbunyi dan tidak berhenti sehingga saya terpaksa menghubungi pihak polis.

"Tolonglah pantau siren amaran banjir ini, air sudah naik tapi siren masih tidak kedengaran," katanya ketika ditemui di Bukit Tambun di sini, pada malam Selasa.

Tambahnya, satu yang menyeksakan apabila terpaksa menghadapi banjir dalam tempoh dua hari dan berharap pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu.

Artikel Berkaitan:


Zai Zali
Zai Zali

"Air yang melimpah ke sungai ini dari Empangan Durian Tunggal, kami bukan menolak pembangunan tapi perumahan semakin bertambah dan sepatutnya sungai sedia ada juga dinaik taraf.

"Penat baharu dua hari bersihkan rumah, kami perlu bersihkan rumah sendiri yang diselaputi lumpur," katanya lagi.

Warga emas, Kassim Samdin, 70 berkata, setiap kali hujan lebat dia yang tinggal berdua bersama isterinya, Kamisah Mahmud,61, tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang rumah dinaiki air.

Kassim
Kassim

Menurutnya, sekiranya siren amaran itu berfungsi dengan baik, mereka dapat mengetahui lebih awal air sungai meningkat namun sebaliknya yang berlaku.

"Sudahlah kami berdua warga emas, rumah pula berhampiran sungai jadi susah kalau siren amaran tidak berbunyi.

"Apa yang kami bimbang lambat untuk berpindah, kerana sebelum ini rumah saya pernah ditenggelami air hingga nampak bumbung rumah sahaja," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Khalil yang ditemui berkata, pihaknya memandang serius isu siren didakwa tidak diaktifkan ketika air sungai mula naik sekali gus menyebabkan penduduk kelam kabut.

Zahari
Zahari

"Kita akan panjangkan isu ini kepada pihak berkenaan untuk mengambil tindakan segera.

"Memandangkan kejadian banjir baharu berlaku dua hari lalu, kini penduduk terpaksa menghadapi sekali lagi bencana itu," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!