Warga emas jatuh motosikal sebelum maut digilis treler
ALOR SETAR - Seorang warga emas maut digilis sebuah treler selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya di Jalan Gangsa, Mergong di sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.04 pagi berhubung kemalangan melibatkan warga emas berusia 73 tahun itu.
Menurut beliau, sepasukan anggota BBP Alor Setar digerakkan untuk melakukan operasi penyelamatan bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah motosikal Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
"Setibanya di lokasi kejadian, terdapat kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dengan sebuah treler.
"Seorang lelaki warga emas dipercayai digilis di bahagian kepala dan badan, selain mangsa turut tersepit di bawah lori di bahagian tayar hadapan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahmad Naufal memaklumkan, susulan itu anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun kata beliau, pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambah Ahmad Naufal, pihaknya melakukan tindakan lanjut dengan membersihkan sisa kemalangan di atas jalan raya di lokasi kejadian sehingga selesai dan operasi tamat pada jam 11.08 pagi.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!