MAS hargai jasa, sumbangan Wendy

Wendy Ng
Wendy Ng
A
A
A

SUMBANGAN atlet terjun kebangsaan Wendy Ng terhadap kemajuan sukan tersebut seterusnya imej Malaysia disifatkan sebagai sesuatu yang tidak ternilai.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Andy Low berkata, badan induk itu menghargai segala jasa dan bakti diberikan Wendy sepanjang mengharumkan nama persatuan dan negara.

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wendy atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada kejayaan Malaysia. MAS amat menghargai semua yang telah beliau lakukan selama berkhidmat dalam sukan ini.

"Pencapaian Wendy melangkaui tempoh perkhidmatannya dengan MAS dan Majlis Sukan Negara; sebagai seorang penerjun Malaysia, dia telah mewakili negara kita dalam beberapa Sukan Olimpik, mempamerkan bakat dan dedikasinya yang luar biasa.

"Hari ini (Selasa), apabila dia bersara daripada kerjayanya yang cemerlang, kami meraikan perjalanannya yang luar biasa dan mendoakan kejayaannya yang berterusan dalam semua usaha masa depannya. Terima kasih, Wendy, atas perkhidmatan cemerlang anda dan mewakili Malaysia dengan bangga," kata Andy pada Rabu.

Wendy pada Selasa, menerusi akaun Instagram miliknya mengumumkan persaraan setelah 20 tahun berkecimpung dalam sukan akuatik terjun.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata: "Hari ini dengan rasa syukur, saya mengucapkan selamat tinggal kepada kolam renang yang telah menjadi tempat perlindungan dan pentas untuk saya mencipta detik-detik indah yang tidak dapat dilupakan.

"Daripada kejayaan ke Olimpik hingga menghargai setiap kemenangan, semuanya didorong dengan dedikasi dan sokongan penuh.

Artikel Berkaitan:

"Persaraan ini menandakan permulaan babak baharu. Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini. Inilah permulaan baharu yang akan diharungi dengan keberanian dan semangat."

Sebagai rekod, penampilan sulung Wendy di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London, diikuti 2016 di Rio de Janeiro dan Tokyo 2020.

Wendy juga mewakili Malaysia di temasya sukan utama seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA sepanjang 20 tahun penglibatannya.

Pencapaian Wendy juga tidak kurang hebatnya apabila memenangi keseluruhan tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan SEA, empat perak di Sukan Asia, satu perak di Sukan Komanwel dan Kejohanan Siri Dunia (empat gangsa) dan Grand Prix (tujuh emas, satu perak dan dua gangsa).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!