Dedah semua penilaian sebelum mula projek kereta kabel Bukit Bendera - SAM

Illustrasi Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bakal dimulakan pada awal Jun ini. Gambar kecil: Meenakshi
Illustrasi Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bakal dimulakan pada awal Jun ini. Gambar kecil: Meenakshi
A
A
A

GEORGE TOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak kerajaan negeri mendedahkan kesemua penilaian yang dibuat terhadap projek kereta kebal Bukit Bendera kepada umum sebelum ia dimulakan.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, pendedahan tersebut melibatkan beberapa penilaian termasuk Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu membuat pelan tempatan sebelum memulakan projek bernilai ratusan juga ringgit itu.

"SAM menggesa kerajaan negeri supaya tidak meneruskan projek itu sehingga semua penilaian-penilaian dipamerkan serta diadakan pelan tempatan supaya orang ramai dapat mengetahui kesan-kesan projek tersebut.

"Projek ini juga banyak persoalan yang timbul antaranya laporan EIA yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tanpa dibuat sebarang publisiti dan pandangan daripada orang awam.

"Kesemua aspek ini tidak mematuhi undang-undang dan segala keputusan dibuat tanpa penyertaan awam sebelum semua penilaian dibuat adalah tidak betul," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, SAM mahu dokumen bagi projek kereta kabel Bukit Bendera didedahkan kepada umum bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi maklum balas.

SAM juga percaya ia ​menjadi kesalahan jika Ketua Pengarah JAS meluluskan laporan EIA tanpa pameran awam dan mendapat ulasan daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Menurut SAM, projek kereta kabel juga membabitkan cerun yang curam dan melangkaui sebanyak 35 darjah kecerunan di sesetengah bahagian serta memerlukan laporan EIA selain pameran termasuk ulasan awam.

Dalam pada itu, Meenakshi berkata, Bukit Bendera adalah ekosistem yang sensitif yang mana, EIA yang diluluskan perlu penglibatan awam.

"Kerajaan negeri harus lebih telus dalam perkara ini. Kawasan-kawasan yang akan terjejas oleh projek ini bukan melibatkan Bukit Bendera sahaja malah kawasan di bahagian bawah antaranya Taman Botanikal dan kawasan sekitarnya.

"Akan ada impak negatif daripada pemotongan pokok, trafik serta bunyi bising dan sebagainya. Penebangan pokok, walaupun minimum seperti yang dinyatakan kerajaan negeri, ia tetap akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

"SAM berharap agar projek ini ditangguhkan dahulu setelah semua prosedur dijalankan dengan betul," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai hampir RM300 juta akan dimulakan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi selepas diberikan kebenaran merancang untuk memulakan kerja oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, sebelum ini, projek itu juga telah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, ketika ini, Perbadanan Bukit Bendera sedang menjalankan Penilaian Impak Trafik untuk membolehkan projek itu dijalankan.

Zairil berkata, projek itu tidak akan merosakkan alam sekitar selain kerajaan negeri sentiasa mematuhi semua garis panduan dan prosedur selain bilangan pokok yang ditebang sangat minimum.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!