Kes bunuh anak tiri: Boy Tiger terlepas hukuman mati, dijel 35 tahun

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas kontraktor terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 35 tahun atas kesalahan membunuh anak tiri lelakinya yang berusia tiga tahun, hampir enam tahun lepas.

Khairul Izani Khairuddin, 36, yang dikenali dengan nama julukan "Boy Tiger” juga dikenakan 12 sebatan rotan, dan diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 12 November 2018.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutan), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan Khairul Izani untuk mengetepikan sabitan ke atas kesalahan membunuh Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim.

Bagaimanapun panel berkenaan membenarkan rayuan Khairul Izani untuk mengetepikan hukuman mati dan digantikkan dengan hukuman penjara.

Pada 26 Ogos 2022 Mahkamah Tinggi Klang mendapati Khairul Izani bersalah membunuh kanak-kanak itu di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Ampang, Selangor pada 8 November 2018 pukul 11 pagi, dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.

Ahmad Zaidi ketika menyampaikan keputusan mahkamah berkata, Khairul Izani gagal menunjukkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam dapatan beliau untuk menolak pembelaannya bahawa dia (Khairul Izani) mengalami masalah tidak waras mental.

Beliau berkata, sebaliknya terdapat keterangan yang membuktikan bahawa Khairul Izani waras semasa kejadian, dengan isteri Khairul Izani memberi keterangan bahawa suaminya berhenti membelasah anak tirinya itu apabila mendapati kepala kanak-kanak berkenaan berdarah dan dengan segera membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Kelakukan Khairul Izani yang berbohong kepada doktor dengan mengatakan bahawa kanak-kanak itu tercedera akibat terjatuh di bilik air menunjukkan dia cuba menyembunyi perbuatannya dan tindak tanduk sedemikian adalah konsisten dengan kelakuan seorang yang waras.

Artikel Berkaitan:

"Kami mendapati hakim bicara tidak boleh dikatakan terkhilaf dalam dapatan beliau bahawa tindakan tertuduh (Khairul Izani) dalam membelasah kanak-kanak itu berlaku kerana sifat panas barannya dan bukan kerana dia dalam keadaan tidak waras mental,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan fakta kes, isteri Khairul Izani melihat suaminya membelasah kanak-kanak itu dengan dengan bertubi-tubi, memijak tubuhnya serta mencekik leher dan menghentak kepalanya ke dinding sehingga berdarah.

Ahmad Zaidi berkata, isteri Khairul Izani tidak berjaya menghalangnya kerana ketika itu dia sarat mengandung, tambahan pula Khairul Izani adalah seorang yang panas baran.

Khairul Izani diwakili peguam Arik Zakri Abdul Kadir, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!