RoS tarik balik penggantungan MTUC

Notis yang dikatakan dikeluarkan RoS pada 13 Disember lalu. (Gambar kecil: J Solomon)
Notis yang dikatakan dikeluarkan RoS pada 13 Disember lalu. (Gambar kecil: J Solomon)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Selangor telah menarik balik penggantungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dikenakan pada 19 Disember tahun lalu.

Dalam kenyataan bersama Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor dan Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, surat penarikan balik itu diterima semalam dan RoS juga menyatakan tidak akan mengharamkan pertubuhan itu.

Menurut kenyataan itu, RoS telah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan termasuk bukti-bukti dokumen bagi menolak dakwaan individu tertentu yang sebelum ini telah membuat aduan kepada RoS.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada RoS yang menarik semula penggantungan sementara dan tidak meneruskan sebarang langkah membatalkan pendaftaran kesatuan yang mewakili kira-kira 15 juta pekerja.

“Mereka bukan hanya menerima penjelasan MTUC berhubung isu berbangkit tetapi membuat keputusan dengan cepat demi kepentingan pekerja dan kesatuan sekerja di negara ini,” katanya hari ini.

Katanya lagi, surat itu turut mengarahkan MTUC agar mengeluarkan pemberitahuan secepat mungkin untuk mengadakan Persidangan Delegasi Triennial MTUC (TDC) selaras dengan perlembagaan badan itu.

“RoS juga mengatakan mereka akan memantau MTUC, terutamanya bagi memastikan TDC diadakan.

“Kepimpinan MTUC akan mengambil semua langkah perlu untuk memanggil satu mesyuarat khas pada 2 Februari nanti. Pada mesyuarat ini, MTUC akan memutuskan semua perkara penting dan persiapan mengenai TDC,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata kenyataan itu lagi, MTUC berharap semua ahli dan gabungan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan dalam minggu-minggu akan datang untuk memastikan persidangan terbabit berjalan dengan penuh demokrasi dan berintegriti.

“Pilihan raya MTUC yang diadakan di TDC mesti memperkasakan kredibiliti kesatuan di mata pekerja dan rakyat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN RoS gantung pendaftaran MTUC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!