Kemarau: Kelantan terus laksanakan solat sunat Istisqa', mohon hujan

Mohd Nassuruddin
Mohd Nassuruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan terus mengadakan solat sunat Istisqa' untuk memohon hujan jika keadaan kemarau di negeri ini berterusan.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya sudah memberikan arahan kepada semua pimpinan masyarakat di seluruh negeri dengan dipimpin oleh imam-imam untuk mengadakan solat sunat Istisqa'.

"Apabila berdepan dengan keadaan panas dan selain ketiadaan hujan, adalah disunatkan untuk mengadakan solat sunat Istisqa' bagi memohon supaya ALLAH SWT menurunkan hujan," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada sambutan Hari Raya di peringkat Kota Darulnaim di sini.

Mohd Nassuruddin (tengah) bersama kepimpinan kerajan negeri semasa hadir pada sambutan hari raya di peringkat Kota Darulnaim pada Rabu.
Mohd Nassuruddin (tengah) bersama kepimpinan kerajan negeri semasa hadir pada sambutan hari raya di peringkat Kota Darulnaim pada Rabu.

Menurut beliau, sebelum ini 14 Parlimen di Kelantan sudah mengadakan solat sunat berkenaan mengikut Parlimen masing-masing susulan kemarau yang teruk.

Beliau bersyukur selepas mengadakan solat sunat Istisqa' sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, hujan pada pagi hari raya pertama.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nassuruddin menasihatkan kepada semua rakyat supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah khususnya kanak-kanak.

"Sekiranya tidak ada keperluan yang mendesak, tidak perlu keluar rumah disebabkan cuaca panas dan kita perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian strok haba.

Artikel Berkaitan:

"Baru-baru ini berlaku satu kematian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Bachok akibat strok haba," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!