PBT perlu patuhi pekeliling pembangunan kawasan gua, kaki bukit batu kapur

Saarani ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Saarani ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi pekeliling membabitkan aspek keselamatan berkaitan pembangunan kawasan gua dan kaki bukit batu kapur yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pekeliling tersebut akan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak yang dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan semua pembangunan di kawasan di kaki bukit dan di dalam gua batu kapur di negeri ini selamat untuk kunjungan orang ramai.

"Jawatankuasa ini akan mengeluarkan satu pekeliling kepada semua PBT, pengusaha dan semua agensi yang terlibat supaya mereka berhati-hati dan melaksanakan kerja-kerja mitigasi mengikut piawaian yang betul, bukan sekadar ambil syarat sahaja.

"Kita tidak kompromi dengan isu keselamatan. Bukan fasal gua, bukan fasal periuk nasi pengusaha pelancongan, tetapi ia berkaitan dengan nyawa manusia," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sementara itu, mengenai pengoperasian Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling berhampiran Gunung Rapat di sini, Saarani berkata, keputusan sama ada ditutup atau dibenarkan kembali beroperasi bergantung kepada syor jawatankuasa berkenaan.

Jelasnya, sebarang keputusan perlu mengambil kira pelbagai aspek sama termasuk pengusaha dan peniaga di kawasan tersebut.

Sinar Harian pada 8 April lalu melaporkan seorang pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu seberat lima kilogram ketika mengunjungi sebuah kawasan rekreasi dekat Gunung Rapat di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Laporan kejadian itu diterima sekitar jam 11.30 pagi melibatkan lelaki warga tempatan berusia 44 tahun.

Susulan kejadian itu, kawasan pelancongan tersebut ditutup sementara, sehingga laporan penuh berhubung kejadian maut berkenaan disiapkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!