Peralihan kuasa PM: Majlis Presiden PH jangan 'bersandiwara'

Mohd Shaid Rosli
Mohd Shaid Rosli
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) diingatkan tidak 'bersandiwara' sebaliknya menyatakan pendirian kepada ahli akar umbi berhubung kedudukan Tun Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, pimpinan komponen PH perlu membuat kenyataan secara terbuka sama ada mendesak Mahathir meletakkan jawatan atau meminta beliau mengekalkan jawatannya.

"Jangan hanya tahu mendesak tetapi apabila disuruh membuat satu keputusan, Majlis Presiden sendiri tidak berani.

"Saya tidak sanggup melihat pimpinan nombor satu negara yang juga tokoh utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disindir seolah-olah tidak bermaruah," katanya yang memuat naik kenyataannya di Facebook beliau hari ini.

Mohd Shaid berkata, presiden setiap komponen PH seharusnya lebih faham cara terbaik memberi nasihat kepada ahli akar umbi memandangkan keputusan Majlis Presiden PH adalah muktamad dalam hal ini

"Sebagai wakil rakyat PH yang duduk sebumbung atas nama komponen PH, seharusnya kita semua perlu faham bahawa hormatkan pemimpin itu adalah keutamaan.

"Adalah satu tindakan yang kurang sihat apabila ada segelintir pimpinan komponen PH membuat kenyataan secara terbuka di dalam forum, akhbar, portal dan sebagainya mendesak Tun (Mahathir) mengotakan janji melepaskan jawatan PM (Perdana Menteri) kepada DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Peralihan kuasa PM: Majlis Presiden PH punyai kebijaksanaan

Dr Mahathir sedia lepas jawatan PM serta-merta

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!