Bomba tangkap ular sawa baham babi hutan
KLUANG - Ular sawa seberat 100 kilogram yang kekenyangan selepas membaham seekor babi hutan berjaya ditangkap di kebun kelapa sawit di Kampung Bukit Nyamuk, Simpang Renggam jam 5.15 petang semalam.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan II, Maznan Muhamad berkata, 10 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira- kira jam 4.59 petang.
Menurutnya, ular sepanjang 6 meter berada lebih kurang 200 meter daripada jalan utama.
"Seorang pekerja ladang yang sedang melakukan kerja- kerja pembersihan kebun kelapa sawit telah menjumpai ular tersebut.
"Ketika itu ular tersebut dipercayai baharu sahaja menelan seekor babi hutan," katanya.
Katanya, ular yang ditangkap itu kemudiannya dilepaskan ke kawasan hutan dekat Kahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!