Kedah tidak berdepan masalah bekalan air kronik musim perayaan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersyukur Kedah berjaya menangani masalah gangguan bekalan air secara berkesan sepanjang musim perayaan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Beliau berkata, pada tahun ini Kedah tidak berdepan masalah gangguan bekalan air kronik sehingga isu berkenaan menjadi bahan serangan di laman sosial.

“Tidak ada yang terjejas teruk (bekalan air) sepanjang musim perayaan, cuma penggunaan musim perayaan meningkat dua kali ganda disebabkan perantauan pulang beraya.

“Mungkin ada sesetengah tempat alami (gangguan bekalan) namun tidak terjejas teruk seperti beberapa negeri lain. Ada negeri lain lagi teruk berbanding Kedah, jadi tak ada lah serangan macam dulu,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali di sini pada Rabu.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Sanusi memaklumkan, pelan kontingensi bekalan air musim perayaan diaktifkan lebih awal berbanding sebelum ini menyebabkan situasi dalam kawalan.

“Musim perayaan tahun ini kita ada 123 buah lori tangki air untuk agihan seluruh daerah. Ini tidak termasuk tangki statik dan penghantaran air ke kawasan terjejas.

"Tidak banyak aduan dilaporkan dan tak jadi isu kali ni. Maknanya air ada walaupun hantar dengan lori,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sanusi berkata, tiada keperluan Kedah memohon untuk melakukan pembenihan awan bagi berdepan cuaca panas berikutan sudah hujan.

“Tak ada mohon (pembenihan awan) sebab sehari dua ini mula hujan. Takungan empangan juga berada di tahap memuaskan. Bekalan dijangka mampu bertahan memandangkan musim kemarau semakin berakhir,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!