Anwar, Wan Azizah bertemu Nadir Al-Nuri hari ini
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu berkesempatan bertemu dengan aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri bersama keluarganya di Kompleks Seri Perdana.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pertemuan itu berasa gembira melihat Muhammad Nadir sekeluarga yang kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza.
"Kami berbicara panjang terkait penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarganya keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.
"Saudara Nadir turut berkongsi kisah yang begitu mengesankan, anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menitipkan doa kepada Muhammad Nadir dan keluarganya agar dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.
"Insya-ALLAH, saya akan terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin,” katanya.
Selain itu, Anwar turut memuat naik beberapa foto bersama Wan Azizah dalam sesi pertemuan bersama keluarga aktivis kemanusiaan itu yang diadakan pada Rabu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!