Zarith Sofia didenda simpan, kurung anak beruang matahari
Zarith Sofia atau nama sebenarnya, Zarith Sofia Mohd Yasin, 28, didenda RM20,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan menyimpan, manakala denda RM7,000 atau penjara empat bulan bagi pertuduhan mengurung haiwan itu.
Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes itu.
Penyanyi itu didakwa menyimpan seekor beruang matahari (Helarctos Malayanus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 tanpa permit khas di kediamannya di Sentrio Pandan, Jalan 3/76D, Desa Pandan, di sini pada 8 malam, 6 Jun tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengurung anak beruang matahari itu di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar berkenaan, di tempat dan masa sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 86(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri merayu hukuman berbentuk denda dengan alasan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Niat tertuduh hanyalah untuk menyelamatkan haiwan berkenaan dan tiada niat untuk mendapatkan sebarang keuntungan.
“Ketika haiwan berkenaan dijumpai oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), ia berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan, Nazarudin Kamarudin memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran.
“Ia bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa jenayah membabitkan hidupan liar adalah kesalahan yang dipandang serius oleh mahkamah di negara ini,” katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:Penyanyi wanita ditahan pelihara beruang secara haram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!