Rangka manusia ditemui di kuarters guru terbiar
BEAUFORT - Tulang dipercayai rangka manusia ditemui dalam sebuah bilik di kuarters perumahan guru di Membakut, di sini pada Rabu.
Rangka tersebut ditemui pada jam 8.53 pagi oleh dua pekerja pembersihan yang melakukan kerja pembersihan di bangunan terbiar itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort, Asisten Superintenden Weddrin Mojingkin berkata, bangunan itu terbiar sejak lima tahun lalu.
"Hasil siasatan di lokasi mendapati rangka manusia itu dalam keadaan terlentang, lengkap berpakaian dan seluar namun badan terpisah dengan tengkorak kepala yang mana tengkorak kepala berada di kedudukan sisi badan mayat.
"Tempoh kematian dianggarkan sudah lama berdasarkan keadaan mayat yang hanya tinggal tulang rangka sahaja," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, identiti mayat masih belum dikenal pasti namun setakat ini tiada sebarang kesan perbuatan jenayah yang dikesan di tempat kejadian.
Sehubungan itu, Weddrin berkata, kertas siasatan dibuka dan diklasifikan sebagai mati mengejut berdasarkan siasatan lokasi kejadian.
"Rangka tersebut telah dibawa ke Hospital Beaufort untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti identiti si mati dan punca sebenar kematian.
"Usaha mencari ahli keluarga juga sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus di Polis Balai Membakut bagi membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!