Pemergian Joseph kehilangan besar kepada Sabah - Hajiji
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pemergian Tan Sri Joseph Kurup, 80, sebagai kehilangan besar bagi kerajaan negeri.
Hajiji berkata, mendiang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang luar biasa dan berpengalaman.
"Saya ingin merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Joseph Kurup.
"Mengimbas kembali semasa saya bekerja bersama beliau sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah pada tahun 1994, saya teringat akan kepimpinan beliau yang luar biasa dan sumbangan besar yang telah diberikan kepada masyarakat, negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan Joseph yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 6.22 petang Rabu.
Mendiang yang berusia 80 tahun sebelum ini merupakan Presiden PBRS sejak penubuhan pada tahun 1994 namun telah melepaskan jawatan itu kepada anaknya, Datuk Arthur Joseph Kurup pada tahun lalu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!