Anwar, Zahid ucap takziah kepada keluarga Joseph Kurup
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri Joseph Kurup yang menghembuskan nafas terakhir pada Rabu.
Beliau turut mendoakan agar roh mendiang diberi tempat istimewa dan diampunkan segala dosa.
"Moga tabah dan kuat dalam menerima khabar duka akan pemergian Tan Sri Joseph Kurup hari ini.
"Jasa dan pengorbanan mendiang sewaktu menjadi menteri di peringkat Persekutuan dan negeri pastinya akan dikenang rakyat serta negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Bapa kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada umur 80 tahun.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan mendiang seorang rakan yang sentiasa bersemangat mendukung obor perjuangan parti ketika susah dan senang.
"Pemergian beliau pastinya meninggalkan seribu satu kenangan buat saya dan rakan-rakan seperjuangan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Joseph yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) disahkan meninggal dunia pada jam 6.22 petang.
Mendiang yang berusia 80 tahun sebelum ini merupakan Presiden PBRS sejak penubuhannya pada 1994, telah melepaskan jawatan itu kepada anaknya, Arthur tahun lalu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!