Bisnes terjejas angkara fasiliti teruk
PENYEWA-penyewa lot kedai di lorong Jalan Banggol, Kuala Terengganu, Terengganu bukan hanya dibelenggu pelbagai isu khususnya masalah atap bocor serta fasiliti yang kurang memuaskan, malah suasana di kawasan perniagaan itu juga kini suram dan sepi.
Difahamkan, banyak kedai terpaksa ditutup kerana peniaga tidak sanggup menanggung kerugian akibat masalah yang didakwa berlarutan dan tiada kesudahan sejak beberapa tahun lalu itu.
Menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat, wartawan Sinar Harian, NURFARDLINA IZZATI MOKTAR mendengar luahan dan keluhan peniaga-peniaga terbabit yang menuntut sesuatu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab demi kelangsungan perniagaan mereka.
Peniaga aksesori wanita, Norlia Abdullah, 65, mendakwa, dia kerugian sebanyak RM8,000 disebabkan barangan jualannya rosak terkena air hujan akibat masalah atap bocor di kedainya.
Katanya, keadaan itu amat memenatkan dan mengecewakan kerana dia terpaksa mengemas serta mengalihkan barang-barang jualannya.
“Banyak barang jualan basah terkena air hujan.
"Ia sangat memenatkan kerana tiap kali hujan perlu kemas dan alih ke kawasan lebih selamat sebab atap bocor.
“Di lorong sekitar sini dianggarkan ada 30 kedai tetapi yang buka tak sampai 10.
"Bukan semua aktif berniaga dan keadaan kawasan perniagaan di sini seperti hidup segan mati tak mahu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah Norlia, ramai peniaga kecewa kerana terpaksa menutup gerai dan menanggung kerugian ribuan ringgit.
Katanya, pelbagai masalah yang dihadapi para peniaga di situ antaranya kebocoran atap, lambakan sampah sarap dan laluan pejalan kaki rosak yang berlarutan sejak beberapa tahun lepas.
Beliau mendakwa, aduan telah dibuat kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), namun tiada tindakan diambil sehingga kini berhubung masalah itu.
“Isu ini sudah kerap diadu kepada MBKT dan ada pegawai yang turun padang untuk melihat masalah yang berlaku namun tiada tindakan lanjut.
“Peniaga membayar sewa sebanyak RM60 sebulan dan amat berharap agar semua masalah ini dapat diselesaikan segera.
“Jika keadaan fasiliti di kawasan perniagaan ini berada dalam keadaan baik, pasti lebih ramai pengunjung namun keadaan sekarang masih kurang memuaskan dan kami nak berniaga pun susah,” ujarnya
Sementara itu, Aw Fang Eng, 72, berkata, masalah sampah sarap yang dibuang dari tingkat atas bangunan menyebabkan saliran paip tersumbat selain mengakibatkan tompok air kelihatan pada dinding kedai.
“Dinding kedai basah dan lembap akibat saliran paip tersumbat.
"Atas kedai ini ada bilik sewa jadi ada yang buang sampah dari kediaman mereka.
“Ia bukan sahaja menyebabkan masalah bau malah menyebabkan bumbung rosak sebab air hujan yang mengalir ke dinding tak ada saluran sebab tersumbat dengan sampah yang terkumpul itu.
“Jadi kita harap pihak berwajib dapat atasi masalah ini dengan secepat mungkin.
"Pengusaha bilik sewa juga diminta menegur dan menasihati penyewa supaya tak membuang sampah merata-rata, dari tingkat atas sehingga menjejaskan atap kedai,” katanya.
Pelanggan setia, Tan Ann Hin, 71, pula memaklumkan, laluan pejalan kaki di kawasan itu yang rosak dikhuatiri mendatangkan kecederaan kepada orang ramai jika tidak segera dibaik pulih.
“Selain isu sampah, keadaan fasiliti di lorong ini juga tidak terurus terutama laluan pejalan kaki.
“Bukan sahaja banyak gerai tutup dan tak meriah di sini, malah laluan di sini rosak dan tanah mendap.
"Orang luar yang tak biasa lalu kawasan ini mungkin akan terjatuh dan mengalami kecederaan akibat jalan yang berlubang dan rosak,” katanya.
Dia mahu isu tersebut ditangani dengan baik oleh pihak berwajib demi kebaikan peniaga dan orang ramai.
“Sangat rugi jika keadaan fasiliti di sini tidak dibangunkan kerana ia bukan sahaja memberi limpahan rezeki kepada peniaga malah beri kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan barangan pada harga berpatutan,” ujarnya.
MBKT sedia pindahkan peniaga ke tapak lebih baik, sesuai
MBKT hanya menyediakan tapak untuk disewa oleh peniaga-peniaga di kawasan Jalan Banggol, Kuala Terengganu dan segala urusan penyelenggaraan tidak tertakluk di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif menjelaskan, bangunan kedai di kawasan itu dibina oleh peniaga dan MBKT hanya mengenakan sewaan tapak sebanyak RM60 sebulan.
“Memang tidak dinafikan berlaku kebocoran dan sebagainya akibat air hujan tetapi bangunan tersebut bukan hak kita (MBKT).
“Kita hanya sediakan tapak sahaja maka sudah menjadi tanggungjawab peniaga terbabit untuk membaikinya sendiri,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, MBKT bersedia untuk memindahkan peniaga-peniaga terbabit ke tapak perniagaan yang lebih baik dan bersesuaian.
“Kita mengambil kira faktor kawasan perniagaan di kedai lorong tersebut kini sepi tanpa kehadiran pelanggan selain tidak lagi sesuai untuk berniaga di situ.
“Jadi kita beri cadangan sedemikian (pemindahan) jika mereka ingin berpindah ke tempat lain yang lebih sesuai sebagai contoh terdapat gerai kosong di tingkat atas di stesen bas Kuala Terengganu.
“Andai kata peniaga bersetuju untuk berpindah ke stesen bas itu maka kami boleh berunding dengan mereka (urusan pemindahan).
“Bagaimanapun setakat ini kami tidak menerima permohonan daripada peniaga untuk berpindah ke tempat lain,” jelas beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!