Setuju cadangan tanam padi huma

Sinar Harian pada 13 April lalu melaporkan usaha seorang peneroka Felda yang menanam padi di halaman rumah. Gambar kecil: Fatimah dan Nur Ameera
Sinar Harian pada 13 April lalu melaporkan usaha seorang peneroka Felda yang menanam padi di halaman rumah. Gambar kecil: Fatimah dan Nur Ameera
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar-pakar sekuriti makanan menyokong cadangan dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyarankan penduduk negeri itu mengusahakan tanaman padi huma sebagai alternatif menambah bekalan beras putih tempatan (BPT) sedia ada berbanding ubi kayu.

Perunding dan Pemegang Kursi Keterjaminan Makanan di Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Fatimah Mohamed Arshad berkata, selain padi huma, negara sepatutnya menerokai lebih banyak jenis tanaman padi lain sebagai usaha jangka masa panjang keterjaminan makanan negara.

Namun menurutnya, tanaman baharu memerlukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) demi meningkatkan produktiviti untuk kegunaan tempatan selain dapat mengenal pasti potensi untuk dikomersilkan.

“Malaysia mempunyai bilangan pengeluaran jenis beras yang sangat rendah iaitu 49 (berdasarkan laporan kemas kini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tahun 2018) berbanding ribuan di India dan Filipina manakala Indonesia, Vietnam, Thailand dan Myanmar menunjukkan prestasi yang lebih baik, pengeluaran lebih dua kali ganda bilangan jenis padi baharu berbanding Malaysia iaitu masing-masing 238, 183, 96 dan 78 jenis.

“Sedangkan Malaysia kaya dengan biodiversiti termasuk variety padi yang tidak diterokai seperti padi huma dan ratusan lagi variety di Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, lebih banyak R&D diperlukan, mulakan R&D besar-besaran untuk bangunkan pelbagai jenis padi yang baharu bagi tujuan pengkomersialan juga untuk memelihara keadaan tanah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi mengeluarkan saranan berhubung tanaman padi huma kerana berpandangan nasi yang dihasilkan daripada beras sama ada padi biasa atau huma, lebih mengenyangkan berbanding makanan ubi kayu seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Fatimah berkata, tidak menjadi masalah sekiranya penduduk di Kedah mencuba tanaman padi huma namun perlu bersedia dengan sebarang risiko yang perlu ditanggung sendiri.

Ujarnya, tanaman baharu memerlukan petani yang berpengalaman dan memahami keperluan padi huma, berbeza dengan pesawah di Sabah dan Sarawak yang sudah biasa dengan jenis tanaman tersebut.

Pensyarah Kanan, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), Nur Ameera A Jaz juga berpandangan, tanaman padi huma sebagai alternatif lebih baik atas faktor rakyat Malaysia mungkin cenderung kurang menyukai ubi kayu.

“Walaupun keperluan pengairan padi huma kurang berbanding padi biasa, namun hasilnya juga tidak sebanyak padi biasa.

"Tetapi ia masih lagi boleh menjadi sumber alternatif yang baik.

“Ini kerana nasi adalah sumber makanan utama bagi penduduk Malaysia, dan usaha untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan, termasuk padi huma adalah penting untuk sekuriti makanan jangka panjang, dan juga kebergantungan terhadap beras import,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!