Pesara KOKITAB maut dilanggar lari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) Berhad maut ketika melintas jalan selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Jalan Wakaf Mempelam, dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Mohd Abdillah Abu Bakar, 63, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, mangsa dilanggar sebuah kenderaan yang tidak pasti jenisnya dalam kejadian kira-kira jam 5.49 pagi Khamis.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa hendak melintas ke kedai di seberang jalan.

"Bagaimanapun, sebuah kereta dengan nombor pendaftaran dan jenis tidak pasti yang datang dari arah lampu isyarat Kubang Parit telah melanggar mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala kenderaan terbabit terus beredar dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Azli berkata, jenazah Mohd Abdillah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!