LPP mohon tambah kuota beras putih tempatan

Azulita menandatangani plak perasmian sempena Majlis Perasmian Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Negeri Perak di Taman Anda, di sini pada Khamis.
Azulita menandatangani plak perasmian sempena Majlis Perasmian Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Negeri Perak di Taman Anda, di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan memohon kuota tambahan bagi beras putih tempatan (BPT) jika jumlah sedia ada yang diperuntukkan tidak mencukupi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata, ketika ini LPP menerima kuota sebanyak 2,500 metrik tan sebulan oleh kerajaan untuk mengedarkan BPT.

Jelas beliau, penambahan kuota itu bergantung kepada permintaan memandangkan beras berkenaan mendapat sambutan yang tinggi dalam kalangan rakyat.

"Sebagai satu langkah intervensi Kementerian Pertanian telah melantik LPP bersama dengan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) untuk memasarkan beras putih tempatan. Kita tahu yang agak sukar untuk diperoleh di pasaran buat masa ini.

"Jadi perbincangan telah dibuat, sekiranya 2,500 metrik tan tidak cukup, pihak kawal selia sememangnya tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan atau menambah lagi kuota untuk LPP sebab perbincangan selalu dibuat di peringkat kementerian," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Negeri Perak di Taman Anda di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Sham Mat Sahat.

Sementara itu Azulita berkata, semua kuota BPT yang diperoleh itu akan dipasarkan ke semua Peladang Outlet di seluruh negara pada harga RM26 bagi 10kg untuk memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan.

"Kita telah pun mula memasarkan (BPT) di Peladang Outlet kita, di kedai-kedai peladang dan juga insya-Allah kita juga akan pasarkan di Peladang Premium Outlet di Perak di bawah PPN Perak.

Artikel Berkaitan:

"Kelebihan LPP ini Peladang-peladang Outlet boleh diperolehi di merata tempat berhampiran dengan Pertubuhan Peladang dan juga terdapat di kawasan luar bandar juga," katanya.

Sementara itu, mengenai Peladang Premium Outlet, Azulita berkata, pembukaan pertama di Perak membabitkan jualan produk-produk berkualiti usahawan Pertubuhan Peladang.

Katanya, selain di Perak, Peladang Premium Outlet terdapat di Putrajaya, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!